Kanak-kanak 6 tahun hilang ketika hadiri sambutan Bon Odori di Johor


  • 112
  • Ahad, 21 Jul 2024

Foto kanak-kanak berusia enam tahun tersebut yang dikongsikan di media sosial sejak Sabtu.

KES kehilangan orang, termasuk dalam kalangan individu dewasa semakin merisaukan sehingga kini apabila terdapat laporan baharu yang memenuhi media sosial saban hari.

Kes culik dan pulang dua adik beradik di Jeram, Selangor dan kehilangan Allahyarhamah Nur Farah Kartini merupakan antara berita yang menjadi topik perbualan hangat kebelakangan ini.

Kini, orang ramai sekali lagi dikejutkan apabila seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan hilang ketika menghadiri satu majlis di Gelang Patah, Johor pada pukul 8.30 malam Sabtu lalu.

BACA LAGI: Penduduk persoal, kontena Israel didakwa berada di Iskandar Puteri

BACA LAGI: 'Cukup-cukuplah', MB Johor tegaskan dakwaan kasino di Forest City fitnah, berniat jahat

WhatsApp Image 2024-07-21 at 2.23.55 PM

Foto terakhir memaparkan kanak-kanak tersebut di sambutan Bon Odori.

Berdasarkan perkongsian di media sosial, dia dilaporkan mengenakan baju memaparkan watak kartun, Mickey Mouse berwarna merah jambu ketika kali terakhir dilihat.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kanak-kanak tersebut, Albertine Leo Jia Hui berumur enam tahun dan bertubuh kurus sederhana.

"Lokasi terakhir ialah Eko Galleria 3, Jalan Eko Botani 3/2, Taman Botani, Iskandar Puteri, Johor.

"Orang ramai yang menjumpai atau mempunyai maklumat mengenai kedudukan penama ini boleh menghubungi balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Ridzuan Abd Hadi di Bahagian Siasatan Jenayah," katanya.

Orang ramai yang menemui kanak-kanak atau mempunyai maklumat berhubung kes tersebut boleh menghubungi ibu bapanya di talian 016-9540623.

Terdahulu, tular beberapa keping foto di media sosial memaparkan kanak-kanak perempuan itu menghadiri Sambutan Bon Odori dengan mengenakan pakaian berwarna putih dan berseluar pendek.

Difahamkan, ibu bapa kepada perempuan itu adalah antara peniaga yang menyertai sambutan berkenaan. Kanak-kanak itu difahamkan bermain sekitar gerai sebelum tidak ditemui ibu bapanya.

Polis juga dilaporkan sudah mengerah Unit Pengesan Anjing (K9) untuk mencari kanak-kanak tersebut di lokasi berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram