Kadar kesuburan menurun: Tingkat jumlah taska dan contohi Korea antara 4 cara tangani TFR


  • Massa
  • Khamis, 04 Jul 2024

TFR di Malaysia menurun daripada 2.1 orang anak pada 2010 kepada 1.6 orang anak pada 2022. — Gambar hiasan

PADA Selasa, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mendedahkan bahawa kadar kesuburan jumlah (TFR) rakyat Malaysia mencatatkan penurunan ketara pada tahun lalu.

Menerusi ucapannya di Dewan Rakyat, Nancy berkata, Laporan Perangkaan Penting 2023 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan TFR di Malaysia menurun daripada 2.1 orang anak pada 2010 kepada 1.6 orang anak pada 2022.

Beliau berkata, terdapat pelbagai faktor menyumbang kepada penurunan tersebut antaranya ekonomi dan gaya hidup.

BACA LAGI: Calon PN nafi dakwaan isu air Sungai Bakap tak pernah dibawa ke sidang DUN

BACA LAGI: Malaysia sedia kerjasama dengan Indonesia, hantar pasukan pengaman ke Palestin

Ujarnya, kedua faktor utama itu boleh mempengaruhi pasangan untuk membuat keputusan seperti pilihan umur berkahwin dan bilangan anak.

Pada masa sama, beliau berkata, masalah ketidaksuburan turut boleh mempengaruhi kadar TFR rakyat Malaysia.

Nancy berkata, sebagai respons kepada keadaan itu, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melaksanakan pelbagai inisiatif.

Ia termasuk menawarkan perkhidmatan rawatan kesuburan pada kos berpatutan, menyediakan klinik merawat masalah kesuburan lelaki serta memberi insentif pengecualian cukai sehingga RM8,000 kepada pasangan mendapatkan rawatan kesuburan.

Ujarnya, LPPKN juga diberi mandat menubuhkan Pusat Subfertiliti Negara yang dilengkapi dengan segala kemudahan rawatan kesuburan di bawah satu bumbung bagi memberi perkhidmatan kesuburan serba moden dengan kos berpatutan.

Menurut Nancy, pihaknya bagaimanapun berpandangan keputusan mempunyai anak dan penentuan bilangan anak adalah hak tersendiri setiap pasangan.

Dalam pada itu, isu penurunan kadar kesuburan rakyat Malaysia turut mendapat perhatian warganet.

KUALA LUMPUR, 2 Julai -- Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Nancy Shukri ketika hadir pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen hari ini.-- fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Rata-rata daripada mereka turut berkongsikan pandangan mereka berhubung punca sebenar dipercayai berlaku di lapangan sehingga menyebabkan perkara tersebut.

Pada masa sama, mereka turut menyatakan beberapa pendapat berhubung langkah boleh diambil kerajaan untuk menangani isu tersebut.

1. Tangani isu kemudahan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak membebankan

Antara isu utama yang dibangkitkan adalah mengenai tahap kemudahan penjagaan kanak-kanak yang disifatkan tidak begitu membantu dalam mendorong pasangan di dalam negara untuk memiliki cahaya mata.

Selain daripada isu harga perkhidmatan yang mahal dan waktu operasi yang tidak efektif, jumlah pusat jagaan yang tidak mencukupi di dalam negara turut menjadi perhatian dalam perbincangan mengenai isu ini.

"Kerja balik pukul 6, tapi taska pun rata-rata tutup pukul 6," kongsi Khafa.

"Di Lembah Klang, harga taska untuk seorang anak sekitar RM700 hingga RM1,000 untuk setiap bulan," kata OdeN.

"Taska mahal. Yang ada semua nak berbisnes. Francais sana sini. Mohon kementerian tangani isu taska ni," ujar HasriPriadi.

2. Semak semula pengecualian cukai pendapatan untuk kategori penjagaan anak

Dalam pada itu, terdapat juga cadangan supaya kerajaan menyemak semula jumlah pengecualian bagi cukai pendapatan yang disediakan kepada pasangan ibu bapa bagi perbelanjaan anak-anak.

Ia selepas nilai pengecualian disediakan dilihat tidak berubah untuk tempoh beberapa lama.

"Bab pengecualian cukai itu setuju. Ada ke RM3,000 sahaja pengecualian dia bagi. RM3,000 itu pendaftaran (taska) sahaja kot. Bukanlah nak sampai dapat pengecualian semua, tapi kurang-kurang RM6,000 hingga RM7,000 itu ok la sikit. RM3,000 punya rate ni dari zaman bila tak kaji semula," ujar Jemi.

"Kalau tak silap saya pengecualian dapat RM3,000 sahaja. Bayar setiap tahun hampir RM6,500 (perbelanjaan anak)," ujar Annasofea.

3. Tangani isu diskriminasi wanita di tempat kerja

Paternity leave recognises that fathers too play a role in caring for children. Photo: 123rf

Kerajaan pada 2022 mula menguatkuasakan penambahan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari. — Gambar hiasan

Warganet turut menimbulkan mengenai isu kewujudan diskriminasi di tempat kerja khususnya terhadap wanita bergelar ibu.

Dakwa mereka, masalah berkenaan dilihat masih berlaku di dalam negara di sebalik pelbagai usaha dilakukan kerajaan.

"Cuti bersalin di Malaysia tidak cukup. Kena banteras juga diskriminasi majikan terhadap wanita yang hendak berkahwin, sudah berkahwin dan punya anak. Bukan semua wanita berkahwin boleh duduk rumah. Ramai yang menanggung ibu bapa dan adik beradik," ujar Hanis.

"Pernah hadir temu duga dekat satu syarikat ini. Dia boleh buat peraturan tak boleh mengandung dua tahun ya," kongsi Waaa.

"Sebelum ke isu taska, isu syarikat diskriminasi pekerja wanita sebab cuti bersalin dan sebagainya. Kena tengok juga dulu data ratio wanita yang dah berkahwin dan bekerja dengan wanita yang dah berkahwin dan tak bekerja. Dari situ baru kita bergerak ke depan untuk penyelesaian," kata I Am.

Untuk rekod, bermula pada 1 Januari 2022, kerajaan mula menguatkuasakan penambahan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari.

Pada masa sama, cuti paterniti juga dinaikkan daripada tiga hari kepada tujuh hari.

4. Tubuh satu kementerian khas tangani isu penurunan kesuburan

Dalam pada itu, terdapat juga cadangan supaya kerajaan mewujudkan satu kementerian khusus bagi menangani trend penurunan kesuburan di dalam negara.

Langkah itu mengambil inspirasi daripada langkah terbaharu kerajaan Korea Selatan yang pada minggu ini mengumumkan bahawa pentadbiran negara itu bakal melancarkan kementerian khusus untuk menangani krisis populasi dihadapi negara itu.

Menerusi laporan media antarabangsa, kementerian itu bertanggungjawab antara lain bagi melaksanakan strategi menangani kadar kelahiran yang rendah dan populasi yang cepat menua yang kini menjadi cabaran utama di Korean Selatan ketika ini.

Kementerian juga akan bertanggungjawab merangka dasar kependudukan dan strategi jangka pertengahan hingga panjang, mengambil alih tugas yang kini diuruskan kementerian kesihatan dan kewangan negara terbabit.

Bidang kuasanya turut meliputi penyelarasan peruntukan belanjawan untuk memerangi kadar kelahiran rendah di pelbagai kementerian berkaitan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram