Kenaikan gaji, struktur elaun antara pengumuman penting PM berkaitan SSPA pada Jumaat


  • Primer
  • Selasa, 13 Ogos 2024

Ramai penjawat awam yang ternanti-nanti tentang dasar kerajaan Madani yang akan dibentangkan di MAPPA pada Jumaat ini.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membuat pengumuman penting berkenaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19, yang dijadualkan pada Jumaat ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Timbalan Pengarah Kanan (Pembangunan Kompetensi) Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Datuk Dr Haniff Zainal Abidin berkata, pengumuman itu dijangka menarik perhatian ramai khususnya dalam kalangan penjawat awam.

"Kali ini agak menarik kerana terdapat kemungkinan besar pengumuman penting berkaitan SSPA dan prinsip-prinsip yang perlu dilaksanakan oleh penjawat awam," katanya dalam program Apa Khabar Malaysia pada Selasa.

BACA LAGI: Terdapat aspek implikasi kewangan susulan kenaikan gaji penjawat awam, bakal dibentang dalam Belanjawan 2025 — Fahmi Fadzil

BACA LAGI: Kerajaan umum kaedah kasar SSPA kenaikan gaji penjawat awam bulan ini — PM Anwar

anwar

Pengumuman Anwar dijangka menarik perhatian ramai khususnya dalam kalangan penjawat awam.

Difahamkan, kenaikan gaji dan struktur pemberian elaun kepada kakitangan kerajaan juga antara pengumuman penting yang akan disampaikan perdana menteri berkaitan SSPA pada Jumaat ini.

Haniff Zainal memberitahu, seramai kira-kira 7,000 penjawat awam akan hadir untuk mendengar ucapan dan pengumuman yang disampaikan Anwar.

"Bagi yang tidak dapat hadir, mereka boleh mengikuti siaran langsung melalui pelbagai platform termasuk media sosial," katanya.

Mengulas mengenai keunikan penganjuran MAPPA kali ini yang bertemakan Perkhidmatan Awam MADANI, Haniff berkata sebanyak 32 reruai agensi dan kementerian akan dibuka untuk memberikan perkhidmatan kepada penjawat awam dan orang ramai.

Mengulas lanjut mengenai MAPPA yang bertemakan 'Perkhidmatan Awam Madani' pada tahun ini, Haniff berkata, sebanyak 32 reruai kementerian dan agensi akan dibuka untuk memberikan perkhidmatan kepada penjawat awam serta orang ramai.

Menurutnya, reruai terbesar yang akan dibuka ialah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

"Selain itu, kami juga menyediakan reruai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membolehkan orang ramai membayar saman dengan harga diskaun.

"Kami turut mengadakan Gerai Jualan Rahmah untuk pengunjung membeli barangan keperluan pada harga lebih murah.

"MAPPA akan mula dibuka pada pukul 9 pagi dan mereka yang hadir boleh ke reruai yang ada terlebih dahulu, kerana Perdana Menteri dijangka tiba sekitar pukul 10 pagi," jelasnya.

Haniff dalam pada itu turut memaklumkan, kawasan parkir di sekitar PICC akan dibuka dan perkhidmatan shuttle turut disediakan bagi memudahkan pergerakan mereka yang hadir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram