HAJAT seorang remaja untuk bekerja keras demi merealisasikan impian kedua orang tuanya menunaikan ibadah umrah kini hanya tinggal kenangan.
Muhammad Naqib Rashidi, 18, dilaporkan meninggal dunia selepas motosikal ditungganginya terbabit dalam kemalangan di Jalan Padang Matsirat, Langkawi pada pukul 11.30, Isnin malam.
Lebih menyedihkan, mangsa yang berasal dari Kampung Chandek Kura itu sempat memuat naik status di aplikasi WhatsApp beberapa minit sebelum maut di lokasi kejadian.
BACA LAGI: [VIDEO] Murid lelaki terkulai jadi mangsa buli geng samseng bermotosikal di Kota Samarahan
BACA LAGI: JKM siasat kes budak perempuan kena pukul anak jiran sampai terlantar di HKL — Nancy Shukri
"Mengharapkan duit mak bapa? Aku sanggup tak sambung belajar sebab tak nak susahkan mereka.
"Belajar susah sendiri, minta maaf mama abah, Akib tak dapat gembirakan mama abah macam anak-anak orang lain yang dapat sambung belajar.
"Akib tak nak susahkan mama abah, Akib akan usahakan Akib kerja keras tanpa susahkan mama abah, Akib faham penat mama abah, Akib dah ada semua nanti Akib tak akan lupakan semua orang yang buat Akib sakit yang buat Akib happy (gembira).
"Impian Akib, Akib teringin nak bawa mama abah pergi umrah guna duit Akib sendiri, Akib harap Akib berjaya mama abah pun ada dengan Akib sekali," demikian catatan yang dimuat naik mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari mengesahkan menerima laporan kemalangan membabitkan remaja tersebut bersama tiga penunggang motosikal lain.
Muhammad Naqib dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa dari arah Kampung Perana ke Kuah terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum mangsa tercampak di atas jalan raya.
"Pada masa sama tiga penunggang lain dari arah sama turut gagal mengawal kenderaan akibat jarak dekat lalu melanggar mangsa yang berada di tengah jalan menyebabkan cedera di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mangsa yang maut dihantar Unit Forensik HSM untuk bedah siasat, manakala tiga penunggang motosikal berusia antara 18 dan 19 tahun yang cedera ringan dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan," katanya menurut laporan Harian Metro. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram