KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan memastikan tiada lagi kes buli di sekolah yang disembunyikan 'bawah karpet' atau dipanggil sweep under the carpet.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementerian memberi perhatian penuh terhadap perkara itu, dengan menambah baik garis panduan pengendalian insiden buli di peringkat institusi KPM, menerusi kerjasama semua agensi termasuk polis dan pihak berkepentingan sekolah.
Menurutnya, KPM juga menyediakan ruang yang luas untuk meningkatkan keupayaan dan peranan guru kaunseling serta kaunselor di sekolah.
BACA LAGI: [VIDEO] Murid lelaki terkulai jadi mangsa buli geng samseng bermotosikal di Kota Samarahan
BACA LAGI: JKM siasat kes budak perempuan kena pukul anak jiran sampai terlantar di HKL — Nancy Shukri
"Perlu diingat bahawa selepas kami menekankan keperluan untuk mengambil tindakan tegas dalam isu ini, kami menerima lebih banyak aduan.
"Ini menunjukkan bahawa mereka bersedia untuk bersuara dan berkongsi maklumat dengan kami.
"Oleh itu, kita tidak mahu ada lagi kes-kes yang disebut sebagai sweep under the carpet, yang sebenarnya kita boleh ambil tindakan”, katanya.
Fadhlina menegaskan, kementerian akan memberi perhatian penuh terhadap isu buli di sekolah.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Antibuli Peringkat Daerah Kerian 2024 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Parit Buntar, Perak pada Selasa.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) diberi ruang untuk memastikan semua aduan berkaitan insiden buli dikendalikan secara telus dan berintegriti, berdasarkan pendekatan yang diguna pakai KPM.
Ujarnya, Program Anti Buli di sekolah perlu diperluas dengan sokongan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan yakin gejala buli di sekolah dapat ditangani dengan lebih berkesan melalui pendidikan.
Mengulas mengenai kes buli yang melibatkan seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah dalam daerah Kerian, Fadhlina berkata, siasatan dan tindakan sedang dijalankan pihak sekolah berdasarkan garis panduan kementerian.
“Jadi sebab itu saya fikir kita sudah ada ruang, kita sudah ada penyelesaian, bagaimana tindakan harus diambil, penjelasan serta penerangan kepada ibu bapa. Saya tekankan bahawa pendekatan kita ialah pendidikan. Jadi apa pun tindakan baik, tegas, ia masih lagi dalam konteks pendidikan,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial satu rakaman video berdurasi satu minit 21 saat, memaparkan seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun dibuli dua pelajar perempuan berusia 15 tahun dari sekolah sama.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku pada 14 Jun di sebuah sekolah menengah di daerah Kerian, yang didakwa berpunca dari sikap cemburu salah seorang suspek terhadap mangsa, selepas dikatakan rapat dengan teman lelakinya berusia 15 tahun dari sekolah sama. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram