Hero Turkiye berisiko kena denda, digantung perlawanan lepas rai gol gaya 'serigala'


  • Podium
  • Khamis, 04 Jul 2024

Demiral menegaskan bahawa tiada sebarang mesej tersembunyi berhubung cara dia meraikan gol itu. — Agensi

PENJARING tunggal Turkiye, Merih Demiral yang meraikan gol dengan gaya tersendiri dalam kemenangan 2-0 ke atas Austria bagi aksi pusingan 16 Euro 2024 berisiko digantung perlawanan seterusnya.

Demiral dilabel sebagai hero perlawanan Turkiye selepas bek tengah berkenaan mencetak dua jaringan bagi membantu pasukan berkenaan lolos ke peringkat suku akhir kejohanan Euro 2024.

Isyarat tangan seperti serigala sebagai simbolik meraikan gol pemain berusia 26 tahun itu bagaimanapun mencetuskan kontroversi apabila ia dikaitkan dengan kumpulan ultra-nasionalis Turkiye, Grey Wolves.

BACA LAGI: [VIDEO] Air mata Ronaldo, Portugal masih ‘bernyawa’ di pentas Euro terakhir

BACA LAGI: Jadi tumpuan Euro 2024, penyerang Hungary tandingan Syihan kini tinggalkan kelab Korea

Disifatkan sebagai isu perkauman oleh Menteri Dalam Negeri Jerman, Nancy Faeser, Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) membuka siasatan terhadap Demiral kerana gayanya meraikan gol itu.

"Simbol pelampau sayap kanan Turkiye tiada tempat di stadium kami. Menggunakan kejohanan bola sepak Eropah sebagai platform bagi perkauman tidak boleh diterima sama sekali," katanya di laman Twitter (X).

Penganjur kejohanan dalam satu kenyataan menyebut bahawa pihak UEFA kini sedang menyiasat pemain itu atas dakwaan 'kelakuan tidak wajar' ketika aksi kalah mati di Leipzig, Jerman pada Rabu.

Susulan siasatan sedang dilaksanakan, pemain kelab Liga Pro Arab Saudi, Al-Ahli itu berisiko berdepan penggantungan daripada perlawanan suku akhir menentang Belanda pada Ahad nanti.

Bukan itu sahaja, isyarat Grey Wolves itu juga menyebabkan Turkiye akan dihukum denda sehingga €4,000 (RM20,163).

Dalam pada itu, Demiral menegaskan bahawa tiada sebarang mesej tersembunyi seperti dakwaan sesetengah pihak berhubung cara dia meraikan gol itu.

Pemain pertahanan itu berkata, penyokong Turkiye di bangku penonton menggunakan isyarat itu membuatkan dia turut membuat perkara sama.

"Cara saya meraikannya ada kaitan dengan identiti Turkiye saya. Kami semua warga Turkiye, saya amat bangga untuk menjadi rakyat Turkiye dan itulah maknanya isyarat ini.

"Saya hanya mahu melahirkan perasaan betapa gembira dan bangganya saya," katanya yang menambah, dia berharap akan ada lebih banyak peluang untuk memperagakan isyarat itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram