Pembunuh bayi Zara kekal hukuman gantung sampai mati


Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

MAHKAMAH Persekutuan pada Selasa mengekalkan hukuman gantung sampai mati ke atas bekas tukang gunting rambut yang membunuh seorang bayi perempuan berusia 11 bulan dikenali sebagai ‘Zara’, yang mengalami kecederaan serius di faraj akibat serangan seksual, enam tahun lalu.

Dalam keputusan sebulat suara yang dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Rhodzariah Bujang, mahkamah menolak rayuan terakhir Hazmi Majid, 42, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman.

“Sabit kesalahan dan hukuman (gantung sampai mati) adalah selamat. Mahkamah ini mengekalkan hukuman seperti yang diputuskan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi,” kata Hakim Rhodzariah yang bersidang bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

BACA LAGI: [VIDEO] Murid lelaki terkulai jadi mangsa buli geng samseng bermotosikal di Kota Samarahan

BACA LAGI: JKM siasat kes budak perempuan kena pukul anak jiran sampai terlantar di HKL — Nancy Shukri

WhatsApp Image 2024-07-02 at 17.02.38

Bayi berkenaan meninggal dunia selepas dua hari berada dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang, Selangor.

Sebelum ini, peguam T Vijayandran yang mewakili Hazmi berhujah bahawa anak guamnya tidak menyedari perbuatan tersebut kerana berada di bawah pengaruh dadah, selain memohon lelaki itu dikenakan hukuman penjara 30 tahun jika mahkamah mengetepikan hukuman mati.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Tetralina Ahmed Fauzi berkata, rayuan Hazmi di bawah pengaruh dadah wajar ditolak, atas tindakannya cuba melupuskan bukti dengan membasuh tuala untuk menghilangkan darah, menunjukkan dia dalam keadaan sedar ketika kejadian berlaku.

Menurut Tetralina, kes itu menepati kehendak ‘kes paling jarang di antara yang jarang berlaku’ yang mewajarkan hukuman mati dikekalkan.

“Mangsa dihantar ibunya ke rumah pengasuh pada pukul 6.45 pagi pada hari kejadian dan kanak-kanak tersebut meninggal dunia pada pukul 1.30 petang.

"Beratnya hanya 8.26 kilogram (kg), giginya pun masih belum tumbuh dan mengalami pendarahan otak yang teruk, itu bermakna peluangnya untuk terus hidup adalah tipis," katanya.

Berdasarkan keterangan pendakwaan, perayu tidak pernah menawarkan diri untuk membantu isterinya yang merupakan pengasuh kanak-kanak itu, tetapi pada hari itu dia menawarkan diri untuk memandikan mangsa.

WhatsApp Image 2024-07-02 at 17.02.44

Bayi tersebut meninggal dunia dipercayai akibat penderaan fizikal dan seksual oleh suami pengasuhnya.

Hazmi didapati bersalah atas dakwaan membunuh dan menyebabkan kematian Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal atau Zara, di sebuah unit di Pangsapuri Sri Cempaka, Bandar Baru Bangi, Bangi, Selangor antara 10.30 pagi dan 1.30 tengah hari pada 7 November 2018.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pada Mac tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas Hazmi oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 20 Ogos 2021.

Pada 2019, Hazmi turut dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, atas dua pertuduhan mendera kanak-kanak itu secara seksual. Dia mengaku bersalah memasukkan jarinya ke dalam kemaluan dan dubur bayi berusia 11 bulan itu.

Media sebelum ini melaporkan bayi berkenaan meninggal dunia selepas dua hari berada dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang, Selangor, dipercayai akibat penderaan fizikal dan seksual oleh suami pengasuh bayi tersebut.

Ibu mangsa sebelum ini dimaklumkan bahawa bayi itu dihantar ke hospital oleh pasangan itu yang mendakwa kanak-kanak tersebut tercekik buah epal. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram