Miliki Ray Ban vintaj termasuk edisi khas Man United, Ahmad Zuwairi tak kisah jadi 'kelawar' berniaga kaca mata hitam


  • Bizz
  • Khamis, 08 Ogos 2024

Ahmad Zuwairi mula mengumpul ratusan kaca mata vintaj jenama Ray Ban sejak berusia 16 tahun.

SELAIN pemilihan busana, cermin mata menjadi salah satu aksesori penting untuk melengkapkan gaya individu.

Tidak hanya melindungi mata daripada sinaran matahari atau buat yang ada masalah penglihatan, adakalanya pemilihan kaca mata yang bersesuaian juga mampu menyerlahkan gaya dan personaliti si pemakai.

Bagi Ahmad Zuwairi Ab Aziz, 37, yang mengumpul ratusan kaca mata vintaj jenama Ray Ban sejak di bangku sekolah menengah sedari usia 16 tahun, mengenakan cermin mata lebih menambahkan keyakinannya apabila berada di khalayak.

BACA LAGI: Dari ditipu hingga pelanggan lari antara payah jerih selama 18 tahun suami isteri bina empayar Reka Teemor

BACA LAGI: Sanggup lupakan hobi kumpul setem, simpan emas jauh lebih lumayan

WhatsApp Image 2024-08-07 at 19.55.40

Model mengandungi emas tulen 14 karat ini didatangkan dengan kotak kayu @ baldu, aksesori dan sijil berserta nombor siri.

Pengasas butik MJ Marc Jue Collection, itu mengakui pernah membeli kaca mata keluaran syarikat Bausch & Lomb dari Amerika Syarikat (AS) berharga hampir RM10,000 sepasang bagi model keluaran penghujung 80-an.

"Ketika membesar boleh dikatakan sebahagian besar filem pada waktu itu para pelakonnya memakai Ray Ban.

"Jadi, saya mula terpengaruh lebih-lebih lagi watak Pete Maverick Mitchell lakonan Tom Cruise dalam filem Top Gun yang turut mengayakan Ray Ban.

"Nak beli pada waktu itu tak mampu, namun rezeki bapa saudara menghadiahkan saya cermin mata jenama ini (Ray Ban)," katanya sambil menambah dia mula mengumpul dengan lebih serius selepas bekerja.

Bercerita lanjut mengenai pembabitannya dalam bidang perniagaan kaca mata berjenama vintaj, anak jati Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan itu memberitahu, idea untuk menjadikan hobi mengumpul sebagai satu sumber pendapatan terhasil ketika menyambung pelajaran di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Ketika itu, selain membeli, dia juga sering menjual barangan terpakai yang masih dalam keadaan baik kepada rakan-rakannya.

WhatsApp Image 2024-08-07 at 20.03.20

Cermin mata Ray Ban keluaran awal sekitar tahun 40-an, model khusus untuk askar dahulu.

"Semasa belajar di UniSZA, saya kenal seorang 'otai' Ray Ban dari AS.

"Kalau berkenan saya selalu beli dengan dia. Maklumlah Ray Ban B&L USA dah tiada di mana-mana kedai sebab dah hentikan pengeluaran.

"Apabila selalu pakai kaca mata ini, kawan-kawan asyik minta nak beli. Jadi lepas saya jual, saya beli yang lain pula.

"Proses ini sering kali terjadi sehinggalah terdetik dalam hati, apa salahnya kalau saya jual Ray Ban vintaj ini?" kongsinya.

Ubah masa tidur

Ditanya tentang perniagaan yang dijalankan sejak tahun 2006 itu, Ahmad Zuwairi berkata, kedainya memberi keutamaan kepada jualan kaca mata jenama Ray Ban Bausch & Lomb USA yang mana pengeluarannya telah dihentikan pada 1998.

Selain itu, anak bongsu daripada lima beradik itu turut menjual kaca mata jenama mewah lain seperti Dior, Carrera, Dunhill dan Playboy.

Lebih menarik, bukan hanya pembeli tempatan, Ahmad Zuwairi turut tak menang menerima tempahan peminat dari luar negara.

WhatsApp Image 2024-08-07 at 19.57.51

Vintage B&L RayBan Wayfarer Edisi Manchester United, hanya terdapat satu unit dalam Malaysia, dengan harga pasaran mencecah RM10,000.

Bagaimanapun, dalam sambutan hangat yang diterima, dia mengakui ada harga yang perlu dibayar.

"Sejak dari zaman belajar dulu, jadual tidur saya jadi tidak menentu dan situasi itu semakin jelas kelihatan selepas saya membuka kedai dan fokus pada penjualan cermin mata.

"Keadaan ini berlaku disebabkan perbezaan zon masa Malaysia dengan luar negara.

"Waktu mereka aktif kebiasaannya sama dengan waktu orang Malaysia tidur. Saya tidur selepas subuh kerana waktu malam saya berurusan dengan penjual-penjual luar negara,"

jelasnya yang mengatakan antara individu yang sanggup membeli koleksinya pada harga tinggi termasuk pelanggan dari luar negara seperti United Kingdom, Sepanyol dan India.

WhatsApp Image 2024-08-07 at 20.02.07

MJ Marc Jue Collection yang dijalankan sejak tahun 2006 semakin mendapat permintaan ramai.

Ditanya sama ada pernah dirinya pernah terdetik rasa ralat, tutur Ahmad Zuwairi, dia tidak pernah mengganggap membeli kaca mata pada harga yang dianggap tidak masuk akal bagi sesetengah pihak sebagai satu pembaziran.

Lagipun ujarnya, nilai barang tersebut tidak pernah menurun kerana model keluaran Bausch & Lomb tidak dikeluarkan lagi.

"Disebabkan faktor ini, peminat Ray Ban masih mencari model lama keluaran Bausch & Lomb hingga harganya makin meningkat.

"Seperti saya sendiri pernah menjual salah satu koleksi pada harga RM15,000 sepasang selepas mendapat permintaan.

"Model tersebut kini mencecah RM30,000 kerana mempunyai emas 14 karat. Kaca mata itu dibeli oleh seorang berpangkat Datuk untuk dijadikan hantaran perkahwinan," kongsinya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram