[VIDEO] Panik, takut dicedera punca pemandu Honda CRV seret motosikal 100 meter di Rawang — Polis


  • 112
  • Sabtu, 03 Ogos 2024

Tangkap layar kereta Honda CRV mengheret motosikal sejauh 100 meter di Jalan Rawang-Bestari Jaya dekat Rawang, Selangor pada Khamis.

GARA-GARA panik dan takut dicederakan punca seorang kereta Honda CRV mengheret motosikal sejauh 100 meter di Jalan Rawang-Bestari Jaya dekat Rawang, Selangor pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, polis sudah membuka kertas siasatan susulan tular video berdurasi 18 saat berhubung insiden tersebut.

Menurut beliau, pihaknya mengesan video yang tular itu pada pukul 8 pagi Jumaat yang mana siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada pukul 1.20 pagi Khamis.

BACA LAGI: [VIDEO] Penculik minta tebusan Bitcoin RM5.4 juta maut berbalas tembakan dengan polis di Johor — Shuhaily

BACA LAGI: Kenapa sekarang, mana Suhakam ketika anak saya dibunuh dengan kejam 7 tahun lalu? — Ayah Zulfarhan

"Pada masa sama, polis turut menerima laporan polis dibuat remaja lelaki berusia 18 tahun pada pukul 2.30 pagi hari yang sama.

"Ketika pengadu berada di hadapan kedai di Bandar Country Homes sebuah kereta Honda CRV dipandu lelaki berusia 50 tahun melanggar motosikalnya ketika mengundur keluar daripada parkir.

"Pengadu pergi ke arah kereta itu bersama lima rakannya namun pemandu itu dalam keadaan takut cuba melarikan diri kerana bimbang akan dicederakan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Susulan kejadian itu, Ariffin berkata, pengadu dan rakannya cuba mengejar kereta itu dan apabila sampai di lampu isyarat hadapan stesen minyak Bandar Country Homes, Rawang, salah seorang penunggang motosikal memberhentikan di hadapan kereta itu.

"Dipercayai akibat takut pemandu terus memecut dan melanggar serta mengheret motosikal sejauh 100 meter dan terpaksa berhenti kerana tayar pecah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dan boleh berhubung dengan Penolong Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Azamil Makmor di talian 019-6004104 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram