[VIDEO] Hanya salah faham, van jenazah kena kejar bukan dicuri — Polis Kajang


  • 112
  • Isnin, 05 Ogos 2024

Tangkap layar video tular sebuah van jenazah yang dikesan dipandu dengan laju dan dikejar oleh sekumpulan lelaki bermotosikal di Kajang baru-baru ini.

VIDEO tular memaparkan van jenazah yang dikesan dipandu dengan laju dan dikejar oleh sekumpulan lelaki bermotosikal di Kajang, Selangor baru-baru ini sebenarnya bukan dicuri dan hanyalah salah faham dalam kalangan penduduk.

Pemandu van berkenaan tersalah alamat dan terpaksa melarikan diri selepas dituduh mencuri kenderaan tersebut dan melakukan pecah rumah sehingga cuba diserang oleh beberapa individu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya mengesan sebuah video tular di TikTok @PakLiyy96 dipercayai berlaku di kawasan Hulu Langat, Selangor.

BACA LAGI: [VIDEO] Ingatkan potong ayam, penduduk kampung di Indonesia kaget rupanya ‘kawan makan kawan’

BACA LAGI: [VIDEO] Padah bermulut puaka, enggan bayar hutang lelaki maut dibakar rakan di Kemboja

"Pemandu van jenazah berusia 35 tahun kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada pukul 3.58 petang Ahad.

“Pengadu memandu van jenazah itu ke satu kawasan perumahan di Kajang untuk dihantar kepada mekanik (tetapi) sudah tersalah alamat jadi dia pandu perlahan.

“Namun, keadaan itu menimbulkan salah faham sehingga dia ditahan sekumpulan lelaki yang menuduhnya memandu kenderaan curi dan terbabit kes pecah rumah di kawasan berkenaan.

“Kumpulan lelaki itu cuba menyerang dan mengejar pemandu dengan kayu dan besi menyebabkan dia terpaksa melarikan diri bersama van tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelas beliau lagi, semakan turut mendapati tiada sebarang laporan kes pecah rumah atau kecurian van jenazah dilaporkan.

"Malah seorang nazir masjid yang berusia 45 tahun mengesahkan dia telah menyerahkan van tersebut kepada pengadu untuk dibaiki.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia 1998 atas kesalahan mendatangkan kegusaran kepada orang lain.

“Kita menasihati masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi di media sosial terutama yang boleh mendatangkan kekeliruan atau mengganggu ketenteraman awam sehingga menyebabkan berlakunya ketidakharmonian dalam kalangan orang ramai.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang cuba menyebar maklumat tidak benar melalui peruntukan undang-undang sedia ada," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram