[VIDEO] Dua anggota polis peras ugut warga asing RM300 di Kajang mengaku tak bersalah


Tangkap layar 2 anggota polis ditahan kerana disyaki melakukan peras ugut wang daripada pasangan warga asing di Jalan Taming Sari, Kajang baru-baru ini.

DUA anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kajang, Selangor pada Jumaat atas pertuduhan melakukan pemerasan wang berjumlah RM300 terhadap seorang lelaki Myanmar, Ahad lalu.

Mengikut pertuduhan, dua anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang itu sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada Wai Lin Phyo, 29, bahawa dia akan ditangkap sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM300.

Pertuduhan terhadap Koperal Nik Ridzuan Nik Man, 39, dan Konstabel Muhammad Najmi Mohd Khodri, 27, dikemukakan di hadapan Majistret Nurul Hafzan Ab Aziz.

BACA LAGI: [VIDEO] Peras ugut warga asing, 2 polis Kajang digantung tugas, sudah dihadapkan ke mahkamah

BACA LAGI: [VIDEO] Anak selamat, mayat pemancing dibaham buaya ditemukan tak sempurna di Sabah

Kesalahan itu dilakukan di tepi jalan Taming Sari 1, Balakong, Kajang, pada pukul 11.30 pagi, 28 Julai lalu, lapor The Star.

Sehubungan itu, kedua-dua anggota terbabit didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat, atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran mencadangkan jaminan RM8,000 bagi setiap tertuduh.

Namun, peguam Muhamad Wafiq Hadie yang mewakili Nik Ridzuan memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya mempunyai tanggungan tiga anak dan isteri.

“Anak guam juga mempunyai penyakit darah tinggi dan kolesterol, penjamin hari ini (Jumaat) adalah adik ipar yang bekerja sebagai mekanik.

“Semalam keluarga hanya membawa wang jaminan RM4,000, mohon ikat jamin dikurangkan kerana wang jaminan hanya cagaran bagi memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah dan bukan bersifat menghukum,” katanya.

Peguam Mohd Fikah Sanusi yang mewakili Muhammad Najmi juga memohon jaminan dikurangkan kerana anak guam sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia tiga tahun.

“Anak guam masih berkhidmat sebagai anggota polis dan memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan.

“Tiada risiko anak guam melarikan diri kerana mereka masih penjawat awam,” katanya.

Mendengar hujah semua pihak, Nurul Hafzan menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan sebutan semula kes pada 3 September ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram