'Tiada istilah penagih kasual', MOT perketat undang-undang hukum pemandu positif dadah


  • 112
  • Selasa, 06 Ogos 2024

Loke (kiri) ketika sesi sidang media Program Pemantauan Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan Dan Kenderaan Perkhidmatan Awam bersama JPJ di Stesen Penguatkuasa JPJ Gombak KM25, Lebuhraya Karak pada Selasa.

KEMENTERIAN Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berusaha mengatasi kemalangan jalan raya, terutama kenderaan pelancongan, perkhidmatan awam dan perdagangan.

Langkah itu dilaksanakan melalui penguatkuasaan bersepadu untuk memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik serta pemandu kenderaan yang melanggar peraturan khususnya mereka yang di bawah pengaruh dadah.

Pada masa sama, wujud pula istilah penagih kasual yang sering diguna pakai pemandu kenderaan berat di lebuh raya.

Menjadikan dadah ataupun rokok elektronik vape berperisa ganja misalnya sebagai 'tenaga' tambahan untuk berjaga malam, segelintir pihak mendakwa ia sebagai satu perkara normal dalam kalangan pemandu treler.

Mengulas lanjut hal itu, Menterinya, Anthony Loke Siew Fook tegas menolak perkara itu daripada dijadikan ikutan masyarakat.

"Tiada istilah penagih kasual di lebuh raya, tak kira atas apa tujuan sekali pun tetapi kalau dah ambil dadah, maka hukuman wajar dikenakan kepada pemandu dan syarikat pengendali kenderaan tersebut.

"Kementerian kini dalam usaha untuk meminda Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) kerana ia tidak boleh diguna pakai kepada penagih dadah yang tidak terlibat dalam kemalangan.

"Undang-undang seksyen untuk pemandu di bawah pengaruh alkohol dah sedia ada cuma ia akan ditambah baik dengan hukuman positif dadah tanpa sebarang syarat kemalangan di lebuh raya," katanya pada Program Pemantauan Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan dan Kenderaan Perkhidmatan Awam (Bas Persiaran & Ekspres) bersama JPJ di Stesen Penguatkuasa JPJ Gombak KM25, Lebuhraya Karak, Kuala Lumpur pada Selasa.

6165601394120309558

Loke (kanan) ketika diberikan penerangan berkaitan ciri keselamatan bas persiaran oleh Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli.

Cadangan pindaan itu dilakukan kerana kesalahan pemandu positif dadah sama seperti pemandu menggunakan alkohol berlebihan.

"Kita hanya boleh mendakwa mereka sekiranya dia mengakibatkan kemalangan jalan raya tetapi kalau seseorang pemandu itu dikesan jadi penagih dadah tetapi tidak atau belum ada kemalangan, dia tidak boleh didakwa hanya boleh digantung lesen sahaja," tambahnya.

Terdahulu, JPJ dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah melakukan saringan ujian urin ke atas pemandu bas persiaran dan ekspres menerusi Operasi Khas bersepadu yang diadakan pada 2 Julai hingga 31 Julai lalu.

Loke berkata, seramai 21 orang pemandu telah dikesan positif dadah hasil daripada pemeriksaan dijalankan.

"Dalam tempoh lima hari op tersebut, 21 pemandu kenderaan perdagangan positif dadah daripada 276 individu yang lakukan pemeriksaan ujian air kencing.

"Ini bermakna dalam setiap 13 orang pemandu terdapat seorang yang berada di bawah pengaruh dadah apabila menjalankan tugas iaitu memandu di jalan raya.

"Pemandu kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam yang didapati positif dadah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 36 iaitu kuasa untuk menggantung lesen memandu penagih dadah," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram