Bekas polis imbau semula zaman Cheras dianggap 'black area' ketika 1980-an


  • 112
  • Jumaat, 02 Ogos 2024

Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, Kuala Lumpur.

KES tembak menembak dengan penjenayah bukan sesuatu yang asing buat individu bergelar anggota polis.

Bagi Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Datuk Mokhtar Omar, 63, jenayah sedemikian masih segar dalam ingatannya apabila pernah melepaskan tembakan ke arah penjenayah di sekitar Cheras, Kuala Lumpur pada satu ketika dahulu.

Jelasnya, pengalaman bertugas selama 23 tahun sebagai anggota polis bukan satu perkara mudah apabila berdepan pelbagai cabaran setiap kali hujung minggu.

"Sekitar era 80-an, kawasan Cheras saya boleh katakan sebagai 'black area' kerana setiap hujung minggu pasti ada kes jenayah, suspek seolah-olah sudah tahu kediaman kosong tak berpenghuni waktu itu.

"Saya bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras lebih kurang 10 tahun, jadi di situ memang saya diuji dengan pelbagai kes jenayah berlaku depan mata.

"Paling saya ingat ketika kami melakukan serbuan di sebuah lokasi jenayah curi kereta, kebetulan berlaku depan mata saya pencuri itu terus memecut laju dan beberapa das tembakan dilepaskan ke arah kenderaan dipandu.

"Seramai empat suspek berjaya ditahan dalam kejadian itu dan mujur anggota kami semuanya terselamat sebab suspek betul-betul cuba untuk langgar kami ketika itu," katanya kepada Majoriti.

2701762

Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Datuk Mokhtar Omar

Dalam pada itu, kes samun dan kecurian turut terpalit dalam memori sejarah hitam beliau apabila pernah berdepan situasi tersebut di Cheras.

Jelasnya, bas awam menjadi pengangkutan utama era 80-an tetapi, kerap dijadikan sasaran penjenayah di sekitar stesen perhentian.

"Pernah berlaku kes samun bersenjata ketika saya melakukan rondaan, suspek acukan pisau di belakang mangsa dan terus mengugut melarikan beg tangan wanita berkenaan.

"Saya ketika itu tidak dapat melakukan apa-apa sebab ia berlaku sekelip mata, rakannya menunggang motosikal sudah menanti di belakang dan terus memecut laju lepas saya cuba membantu.

"Kesemuanya boleh dikatakan berlaku pada setiap minggu dan lebih menarik ia terjadi di sekitar kawasan Cheras. Sebab itu saya kata situ memang kawasan jenayah," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram