Pernah disiasat RCI, PDRM banyak kelemahan dari segi integriti, rasuah pada 2003 — Musa Hassan


  • 112
  • Ahad, 04 Ogos 2024

Tan Sri Musa Hassan ketika menggalas tugas sebagai Ketua Polis Negara pada 2006.

SIAPA sangka, siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2003 mendapati banyak kelemahan pasukan dari segi integriti termasuklah aktiviti rasuah dalam negara.

Perkara itu dikongsikan Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang pernah memikul tanggungjawab itu dari 2006 hingga 2010.

Jelasnya, PDRM ketika itu berdepan pelbagai kekurangan dari segi struktur organisasi, sumber manusia, kelengkapan usang dan keadaan di tempat kerja yang kurang baik.

BACA LAGI: Bekas polis imbau semula zaman Cheras dianggap 'black area' ketika 1980-an

BACA LAGI: [VIDEO] Bomba guna 'high line technique' selamatkan remaja, kanak-kanak terperangkap atas batu sungai di Nilai

Pada masa sama, ia dikenal pasti sebagai salah satu perkara yang boleh ditambah baik pihak polis bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat serta menjalankan tugas demi keamanan negara sehingga sekarang.

Mengenang jasa serta penghargaan atas segala bantuan setiap pegawai polis di bawah kendaliannya satu ketika dahulu, jasa bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi turut tidak dilupakan beliau.

"Saya berterima kasih kepada pegawai polis di semua peringkat kerana memberikan sokongan dan kerjasama untuk menambah baik perkhidmatan PDRM.

"Saya juga berterima kasih kepada kerajaan pada masa itu dan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi kerana memberi sokongan diatas penambah baikan PDRM.

"Usaha mencegah rasuah dalam kalangan pegawai dan anggota polis telah dilakukan dengan pemakaian lencana 'Saya Anti Rasuah' sebelum ia ditukar kepada 'Integriti Amalan Kita'," katanya kepada Majoriti.

804196

Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan bekas Perdana Menteri kelima selepas Tun Dr Mahathir.

Musa dalam pada masa sama turut merakamkan penghargaan atas jasa Abdullah kerana mengubah struktur pangkat anggota dan kenaikan gaji mengikut kelulusan akademik.

Dalam pada itu, kejayaan menumpaskan kumpulan perompak Thailand di Subang, Selangor merupakan pengalaman paling diingati sepanjang mengendalikan kes jenayah negara.

"Saya tidak dapat lupakan apabila tumpasnya kumpulan perompak kedai emas terdiri daripada tiga warganegara Thailand dan seorang warga tempatan pada 2007.

"Berlaku tembak menembak antara penjenayah dan pengawa keselamatan mengakibatkan seorang penjenayah mati dalam kejadian itu.

"Pihak polis berjaya menangkap kesemua penjenayah dalam masa 48 jam serta merampas senjata api senapang dan enam pucuk pistol serta 230 butir peluru pelbagai jenis," katanya.

Jelas Musa, kejayaan itu adalah hasil daripada risikan dijalankan serta hubungan baik dan kerjasama pihak polis dengan masyarakat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram