PERISTIWA pencerobohan Lahad Datu masih meninggalkan memori pahit buat seluruh masyarakat Malaysia ekoran pemergian 13 wira negara yang terkorban dalam serangan pengganas Sulu itu pada 2013.
Bagai 'Wira tidak didendang, semangat juang jurufoto Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga tidak kurang hebatnya apabila turut terlibat sama dalam memperjuangkan tanah air ketika serangan tersebut.
Kurang diberikan pendedahan di laman media mahupun laporan akhbar, perkongsian seorang jurufoto PDRM, Detektif Koperal Mohd Zaidie Nordin, 39, ketika bertugas di medan perang wajar dihargai dan diangkat sebagai wira negara.
BACA LAGI: Kelengkapan sistem C4i antara bukti PDRM semakin tangkas, bikin penjenayah 'ketar lutut'
Peristiwa pencerobohan Lahad Datu masih menjadi peristiwa hitam buat rakyat Malaysia. — Gambar hiasan
Jelasnya, kehadiran jurufoto di medan pertempuran sememangnya berisiko tinggi untuk ditembak kerana kamera dipikul sentiasa menjadi sasaran penembak tepat atau sniper musuh.
Pengalamannya semasa bertugas di Lahad Datu sekitar 2013 cukup mendebarkan apabila turut serta sepanjang proses eskot mayat musuh sehingga ke detik pengebumian di tanah perkuburan Sabah.
"Ketika kami nak ambil mayat dari lubang, perjalanan terpaksa dihentikan kerana diserang musuh.
"Dalam mana-mana pertempuran, kamera sentiasa jadi sasaran penembak sniper, mungkin juga mereka tak mahu sebarang imej dikongsikan pada media.
"Sepanjang lima hari di Felda Sahabat, Bandar Cenderawasih, Lahad Datu, setiap malam boleh dengar tembakan dari penceroboh Sulu, ia sebagai petanda isyarat mereka akan melancarkan serangan," katanya kepada Majoriti.
Tempoh 11 Februari hingga penghujung Mac 2013 adalah antara detik hitam dalam sejarah negara apabila kedaulatan tanah air dicabul oleh sekumpulan pengganas Sulu.
Ujarnya, kamera digunakan serupa seperti mana yang dijual di pasaran dan sememangnya satu cabaran besar untuk membawanya ketika berdepan serangan musuh.
Namun, beliau selaku anggota polis turut dibekalkan sepucuk pistol bagi tujuan keselamatan diri ketika kejadian.
"Dalam peperangan kamera tak penting kerana nyawa masih menjadi keutamaan, kami semua dibekalkan pistol tetapi bezanya dengan anggota polis lain, mereka diberikan senapang.
"Ketika pengebumian mayat, setiap seorang jurufoto ditugaskan untuk ikut setiap seorang mayat sehingga segalanya selesai.
Pengalaman saya tidak dapat lupakan ketika itu adalah apabila mayat yang saya iringi pengebumiannya tidak berbau walaupun telah disimpan lebih berminggu-minggu," katanya.
Untuk rekod, tempoh 11 Februari hingga penghujung Mac 2013 adalah antara detik hitam dalam sejarah negara apabila kedaulatan tanah air dicabul oleh sekumpulan pengganas Sulu dari selatan Filipina yang menceroboh wilayah pantai timur Sabah.
Sebelas tahun berlalu, Lahad Datu yang sebelum ini digelar 'bandar perang' kini pesat membangun, terutama dari segi ekonomi, meskipun detik hitam itu kekal dalam ingatan penduduk setempat khususnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram