KP Laut sudah diarah bercuti — Menteri Pengangkutan


  • Primer
  • Selasa, 06 Ogos 2024

Loke berkata, Mohamad Halim (gambar kecil) sudah diarah mengosongkan pejabatnya sementara kes di mahkamah berjalan.

KETUA Pengarah Laut Jabatan Laut Malaysia (JLM), yang didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Khamis lalu sudah diarahkan bercuti.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Kapten Mohamad Halim Ahmed sudah diarah mengosongkan pejabatnya sementara kes di mahkamah berjalan.

Beliau berkata, ia adalah prosedur biasa dalam perkhidmatan awam sekiranya ada penjawat yang dituduh di mahkamah.

“Beliau sudah mengambil cuti walaupun doktrin yang mendapati beliau tidak bersalah sehingga didapati bersalah masih lagi terpakai.

BACA LAGI: Ketua Pengarah Laut didakwa menipu surat pengecualian minyak gred berat

BACA LAGI: Jumpa abu tepi katil, warga emas hilang nyawa kerana rokok di Petaling Jaya

“Dalam prosedur perkhidmatan awam, beliau diminta mengambil cuti dan mengosongkan pejabat dan sementara kes itu berjalan di mahkamah, beliau tidak akan melaporkan diri untuk bertugas,” katanya.

Loke berkata demikian selepas hadir dalam lawatan Program Pematuhan Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan dan Kenderaan Perkhidmatan Awam di Stesen Penguatkuasa JPJ Gombak, pada Selasa.

Khamis lalu, Mohamad Halim, 57, didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menipu bekas ketua pengarah terdahulu berhubung surat pengecualian kepada syarikat perkapalan bagi membawa minyak gred berat di perairan negara tanpa kelulusan Menteri Pengangkutan, empat tahun lalu.

Bagaimanapun, Mohamad Halim mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Mengikut pertuduhan, bapa tiga anak yang ketika itu Setiausaha Bahagian Maritim Kementerian Pengangkutan didakwa menipu Ketua Pengarah JLM ketika itu Datuk Baharin Abdul Hamid dan memperdayakannya dengan mengemukakan Surat Kementerian Pengangkutan Malaysia bertarikh 27 Oktober 2020.

Ia menyatakan “YB Menteri Pengangkutan pada 22 Oktober 2020 memutuskan supaya tempoh bagi syarikat-syarikat perkapalan yang diberikan pengecualian untuk membawa ‘heavy grade oil’ dalam perairan Malaysia perlu dikekalkan mengikut tarikh yang diluluskan", sedangkan tiada kelulusan sedemikian diberikan.

Perbuatan itu menyebabkan Baharin mengeluarkan surat pengecualian kepada syarikat-syarikat perkapalan yang berkenaan yang mana beliau tidak akan melakukannya sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Laut, Jabatan Laut Malaysia, Jalan Limbungan, Pelabuhan Klang, pada 27 Oktober 2020 dan dituduh mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram