Budak 12 tahun pandu kereta: Bapa didakwa cuai, dedah kepada kecederaan fizikal


Tangkap layar daripada video yang memaparkan seorang kanak-kanak lelaki memandu kereta sambil membawa dua orang adiknya.

SEORANG penjual karpet didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang pada Rabu atas pertuduhan mengabaikan dan bertindak secara cuai yang mungkin mendedahkan anak lelakinya berusia 12 tahun kepada kecederaan fizikal, pada Julai lalu.

Memetik laporan Berita Harian, warga Pakistan yang juga pemegang kad pemastautin tetap itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah taman perumahan di Taman Putra Impiana, Puchong, Selangor pada pukul 7.30 petang.

BACA LAGI: [VIDEO] Penculik minta tebusan Bitcoin RM5.4 juta maut berbalas tembakan dengan polis di Johor — Shuhaily

BACA LAGI: [VIDEO] JPJ siasat, ambil tindakan kes kanak-kanak 12 tahun pandu kereta di Puchong

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farahin Sasaruddin menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dilarang mendekati saksi pendakwaan dan melapor diri di balai polis setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam Nabilla Rosli yang mewakili tertuduh membantah jaminan tinggi dikenakan berikutan anak guamnya penanggung tunggal keluarga.

"Anak guam adalah warga pakistan yang berstatus PR (pemastautin tetap) Malaysia mempunyai lima anak berusia enam hingga 19 tahun yang semuanya masih sekolah.

"Isteri yang juga warga Malaysia adalah suri rumah dan anak guam peniaga karpet kecil-kecilan dengan pendapatan tidak menentu sekitar RM3,000," katanya.

Ahmad Fuad menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan serta 4 September ini untuk sebutan kes.

Sebelum ini tular rakaman video memaparkan seorang remaja lelaki memandu kereta jenis Perodua Viva yang turut dinaiki dua kanak-kanak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram