[VIDEO] JPJ siasat, ambil tindakan kes kanak-kanak 12 tahun pandu kereta di Puchong


  • 112
  • Selasa, 30 Jul 2024

Tangkap layar daripada video yang memaparkan seorang kanak-kanak memandu kereta sambil membawa dua orang adiknya.

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuka siasatan terhadap kes kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang memandu kereta dan membawa dua adiknya dalam video tular baru-baru ini.

Kejadian dilapor berlaku di Taman Putra Impiana di Puchong, Selangor.

Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, bagaimanapun, tindakan itu akan diambil selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai menjalankan siasatan.

BACA LAGI: Polis sahkan Albertine tidak diapa-apakan suspek sepanjang tempoh diculik

BACA LAGI: Lima pelajar lelaki pukul junior di Ipoh kena tahan polis

"Pihak PDRM sudah mengambil tindakan dalam kes itu dan kami juga akan menjalankan siasatan sendiri sebaik PDRM selesai menjalankan siasatan mereka.

"Kami akan panggil ibu bapa mereka dan mengeluarkan kompaun atas kesalahan membenarkan anak yang tiada lesen memandu kenderaan," katanya pada sidang media selepas Operasi Pemandu Warga Asing (Op Pewa) di Putrajaya pada Selasa.

Aedy Fadly turut menasihati ibu bapa supaya tidak membenarkan anak-anak yang tidak mempunyai lesen untuk memandu di jalan raya selain mengawasi mereka.

"Tindakan membiarkan mereka memandu kenderaan boleh mendatangkan risiko kemalangan bukan sahaja kepada anak-anak itu sendiri, malah pengguna jalan raya lain," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan polis sudah mengambil keterangan bapa kepada kanak-kanak lelaki yang memandu kereta dengan membawa dua adiknya.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof difahamkan berkata, lelaki berusia 53 tahun itu hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang untuk memberi keterangan pada pukul 11.30 malam tadi.

Katanya, siasatan awal mendapati kanak-kanak berkenaan memandu kereta Perodua Viva dengan membawa dua adik lelaki berusia enam dan empat tahun bersiar-siar di kawasan perumahan kira-kira 8 malam, Ahad lalu.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram