Demi mudahkan rakyat buat repot, PDRM terpaksa sewa kedai dijadikan balai polis — Musa Hassan


  • 112
  • Selasa, 06 Ogos 2024

Musa Hassan pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Negara dari 2006 hingga 2010.

PERCAYA atau tidak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pernah berdepan situasi sukar sekali gus mengambil inisiatif mewujudkan konsep polis komuniti bagi memudahkan masyarakat mendapatkan khidmat dalam pencegahan jenayah.

Langkah itu tercetus ekoran kelemahan dihadapi PDRM dari segi integriti, penglibatan aktiviti rasuah, struktur organisasi serta kelengkapan usang di tempat kerja berdasarkan siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada 2003.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pihaknya terpaksa mengambil keputusan menyewa premis kedai untuk dijadikan balai polis bagi memudahkan masyarakat membuat laporan.

BACA LAGI: Bekas polis imbau semula zaman Cheras dianggap 'black area' ketika 1980-an

BACA LAGI: Pernah disiasat RCI, PDRM banyak kelemahan dari segi integriti, rasuah pada 2003 — Musa Hassan

"Ketika itu, PDRM menyewa kedai untuk dijadikan balai sebagai salah satu usaha menambah baik perkhidmatan masyarakat dalam usaha pencegahan jenayah.

"Malah, PDRM turut mewujudkan pondok-pondok polis di kawasan yang ramai pelancong seperti di Bukit Bintang dan lain-lain kawasan pelancongan untuk beri khidmat kepada mereka yang memerlukan.

"Kebajikan polis turut ditambah baik dengan kelengkapan perumahan pegawai dan anggota dinaik taraf sekali gus meningkatkan mutu perkhidmatan buat rakyat," katanya kepada Majoriti.

IGP_Tan_Sri_Musa_Hassan

Musa Hassan ketika menggalas tugas sebagai Ketua Polis Negara pada 2006.

Sementara itu, beliau menganggap usaha-usaha dilakukan PDRM sepanjang di bawah kendaliannya seperti menambah baik SOP dalam memberikan perkhidmatan yang berkesan, sebagai detik yang membanggakan sepanjang kariernya.

Dalam pada itu, kejayaan menumpaskan kumpulan perompak Thailand di Subang, Selangor merupakan pengalaman paling diingati sepanjang mengendalikan kes jenayah negara.

"Saya tidak dapat lupakan apabila tumpasnya kumpulan perompak kedai emas terdiri daripada tiga warganegara Thailand dan seorang warga tempatan pada 2007.

"Berlaku tembak menembak antara penjenayah dan pengawal keselamatan mengakibatkan seorang penjenayah mati dalam kejadian itu.

"Pihak polis berjaya menangkap kesemua penjenayah dalam masa 48 jam serta merampas senjata api senapang dan enam pucuk pistol serta 230 butir peluru pelbagai jenis," katanya.

Jelas Musa, kejayaan itu adalah hasil daripada risikan dijalankan serta hubungan baik dan kerjasama pihak polis dengan masyarakat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram