SIAPA sangka, keterujaan Mohd Nazmie Che Mohd Ashari mengumpul kayu-kayu terbuang sejak 14 tahun lalu membuahkan hasil selepas bahan itu bertukar menjadi sebahagian daripada rumah idamannya.
Meskipun tindakan mengumpul kayu terbuang itu pada awalnya menimbulkan 'cakap-cakap' orang kampung, guru Bahasa Inggeris berusia 38 tahun tersebut kini mampu memukau orang ramai dengan bakat terpendamnya.
Mohd Nazmie menggunakan batang pokok dan kayu terbuang yang ditemui di sekitar kampungnya di Bachok, Kelantan untuk menghasilkan meja belajar, papan pencincang dan alat permainan.
BACA LAGI: Kemeriahan program Agrikomoditi Walk 2023 galak gaya hidup sihat metropolitan
Mohd Nadzmie menggunakan peralatannya sendiri untuk menghasilkan ukiran dan kraf tangan tersendiri. — Facebook/Tembusu Woodworks
Beliau juga mendapatkan kayu daripada penduduk kampung yang membersihkan tanah mereka untuk pengeluaran pertanian atau pembinaan.
"Ada kalanya saya mendapatkan kayu tersebut secara percuma tetapi ada juga yang meminta saya untuk membayarnya.
"Namun saya difahamkan duit tersebut digunakan untuk membersihkan kawasan, jadi ia juga boleh dianggap sebagai situasi-menang-menang," katanya.
Selama bertahun-tahun mengumpul kayu membolehkan Mohd Nazmie membina sebuah rumah dengan menggunakan pelbagai jenis kayu seperti cengal dan damar hitam.
Menggunakan kepakarannya, beliau berjaya mendirikan sebuah rumah dua tingkat yang mula dibina ketika pandemik Covid-19.
"Saya sudah lama bercita-cita untuk membina rumah sendiri kerana gemar akan binaan berkonsepkan Melayu lama.
"Saya juga membangunkan rumah baharu ini kira-kira 20 kilometer (km) dari rumah ibu mertua saya," ujarnya.
Tukang kayu itu hanya menggunakan bahan buangan yang mudah dikutip. — Facebook/Tembusu Woodworks
Tambahnya, hobi itu juga dilakukan bertujuan mengurangkan masalah lambakan sampah di pusat pembuangan.
Malah, kebimbangannya terhadap isu pembakaran terbuka akibat pembangunan menguatkan lagi niatnya untuk terus berbuat demikian.
"Saya risau dengan isu pembalakan dan pembakaran terbuka disebabkan pembangunan yang hanya akan menyebabkan berlakunya pelbagai isu alam sekitar seperti perubahan iklim dan lain-lain.
"Selalunya apabila ternampak pokok yang tumbang di jalan, saya akan terus bertemu pemiliknya untuk bertanya sama ada saya boleh mendapatkan kayu berkenaan," ceritanya.
Dalam pada itu, guru yang mengajar di Sekolah Menengah Long Yunus, Bachok itu turut berkata, beliau menambah baik kemahiran mengukir kayu menerusi tontonan video di media sosial seperti YouTube dan Instagram.
"Saya kagum menonton video pertukangan di internet dan melihat kerja-kerja menghasilkan pelbagai barangan termasuk meja dan alat perhiasan itu satu perkara yang sangat menakjubkan.
"Saya memang mempunyai kemahiran itu, tetapi kebolehan tersebut ditambah baik dengan menonton video sehingga membolehkan saya untuk mencipta sesuatu barang yang lebih besar," katanya lagi.
Guru itu juga sempat berkongsi bahawa hobinya itu sudah beralih arah menjadi punca rezeki sampingan, apabila hasil kraf tangannya mula meraih perhatian orang ramai sejak 2016.
Kayu tembusu ialah sejenis kayu pertama yang digunakan untuk memulakan perniagaan
Mengulas mengenai tembusu, beliau berkata, ia adalah sejenis kayu pertama yang digunakan untuk memulakan perniagaannya sebelum ini kerana kualitinya yang tahan lasak.
Ekoran daripada itu, beliau memutuskan untuk menamakan syarikatnya berdasarkan jenis kayu tersebut, iaitu Tembusu Woodworks.
Pengalamannya dalam bidang itu menyebabkan beliau sudah berupaya mengenal pasti pelbagai jenis kayu yang sesuai berdasarkan projek dan hasil yang diinginkan.
"Saya akan memilih kayu berdasarkan ketahanan dan kesesuaiannya, misalnya jelutong, cengal dan tembusu sesuai untuk kerja-kerja mengukir.
"Kayu daripada pokok kapur, mersawa dan akasia pula adalah jenis kayu yang keras, jadi sesuai digunakan untuk barang yang lebih keras seperti meja dan kayu," tambahnya.
Sehingga kini, Mohd Nadzmie masih bergiat aktif menjalankan perniagaannya, selain orang ramai juga boleh melihat hasil kerjanya menerusi laman Facebook Tembusu Woodworks. — The Star/SHELLA CHANDRAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram