Kekal elemen budaya setempat, FAMA peruntuk RM10 juta naik taraf 41 Pasar Tamu seluruh Sabah


  • Berita
  • Jumaat, 02 Ogos 2024

Arthur (tengah) ketika membuat lawatan di tapak program FAMA Fest 2024@Sabah yang bakal berlangsung pada 29 Ogos hingga 1 September 2014. — FAMA

LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi aktiviti pembangunan dan menaik taraf 41 Pasar Tamu di seluruh Wilayah Sabah, tahun ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, daripada jumlah tersebut, RM7.6 juta telah digunakan bagi menaik taraf 38 Pasar Tamu yang kini sedang dalam proses pelaksanaan dan dijangka siap tahun ini.

"Sebanyak tiga Pasar Tamu iaitu Pasar Tamu Kinabatangan, Pasar Tamu Menggerimot dan Pasar Tamu Rancangan Belia Tiulon sedang dalam fasa dokumentasi dan pelaksanaan bagi tujuan naik taraf,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

BACA LAGI: Perintis pertama ke Mesir, doktor gigi kelahiran Kelantan kentalkan hati timba pengalaman jahit muka pesakit

BACA LAGI: FAMA sasar edar 2,000 tan metrik beras putih tempatan setiap bulan

WhatsApp Image 2024-08-02 at 10.48.59

Sehingga tahun lepas FAMA membelanjakan RM5.36 juta untuk menaik taraf enam Pasar Tamu sedia. — FAMA

Menurut Arthur, projek menaik taraf tersebut akan memberi manfaat kepada 150 usahawan di setiap Pasar Tamu bagi tujuan menjalankan aktiviti pemasaran agromakanan mereka.

Beliau berkata, usaha berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan kemudahan fasiliti dan keselesaan pengunjung di Pasar Tamu, dalam masa sama mengekalkan elemen budaya setempat yang menjadi identiti unik masyarakat di wilayah itu.

"Selain itu, sehingga tahun lepas FAMA membelanjakan RM5.36 juta untuk menaik taraf enam Pasar Tamu sedia ada iaitu Pasar Tamu Sook di Keningau, Pasar Tamu Dataran Tomborungus di Kudat, Pasar Tamu Kunak, Pasar Tamu Beluran, Pasar Tamu Tuaran dan Pasar Tamu Telupid," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram