Kemeriahan program Agrikomoditi Walk 2023 galak gaya hidup sihat metropolitan


  • Primer
  • Khamis, 21 Dis 2023

Fadillah turut berjalan sejauh 5km sambil menolak seorang peserta OKU sepanjang laluan Persiaran Perdana, Putrajaya.

SEAWAL pukul 6.30 pagi, pekarangan Persiaran Perdana, Putrajaya sudah dibanjiri peserta program Agrikomoditi Walk 2023 anjuran Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

Usai pendaftaran, peserta mula mengambil ruang untuk sesi memanaskan badan dengan aktiviti senamrobik dan zumba.

Seramai 2,000 peserta berkumpul untuk menyempurnakan pengisian utama program iaitu jalan laju sejauh 5 kilometer (km) sepanjang laluan Persiaran Perdana.

Dianjurkan sempena Hari Agrikomoditi Negara 2023, Agrikomoditi Walk diserikan dengan kehadiran Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof yang melepaskan ribuan peserta berbaju biru muda sekitar pukul 7.30 pagi.

Menariknya, selain warga kerja KPK, seramai 24 wakil daripada kelab komuniti, Bikeisable termasuk 12 kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) berumur dalam lingkungan 5 hingga 15 tahun turut hadir memeriahkan suasana.

Agrikomoditi Walk 2023 yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof di Putrajaya. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

Seorang kanak-kanak lelaki tidak melepas peluang menyertai program Agrikomoditi Walk 2023 yang berlangsung di pekarangan Persiaran Perdana, Putrajaya.

Program santai sihat itu bertujuan mendedahkan kepada masyarakat umum tentang peranan KPK di samping keutamaan komoditi dan produk komoditi negara seperti sawit, getah, kayu kayan, koko, lada dan kenaf.

Fadillah merangkap Timbalan Perdana Menteri berkata, selain mengeratkan hubungan antara warga KPK dengan orang awam, Agrikomoditi Walk 2023 juga dilaksanakan untuk menggalakkan masyarakat mengamalkan aktiviti sihat.

“Program ini dapat memupuk amalan sihat dalam kalangan masyarakat, apatah lagi berjalan salah satu aktiviti yang sepatutnya menjadi budaya rakyat Malaysia.

“Selain itu, acara ini juga dapat memberi kesedaran kepada masyarakat tentang fungsi KPK secara lebih dekat termasuk perkhidmatan dan produk yang disediakan,” katanya selepas acara melepaskan para peserta program pada 9 Disember lalu.

Agrikomoditi Walk 2023 yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof di Putrajaya. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

Fadillah (tiga dari kiri) tidak melepaskan peluang melihat produk yang dipamerkan di program Agrikomoditi Walk 2023.

Ahli Parlimen Petra Jaya itu turut menjelaskan, kementeriannya akan meneruskan komitmen bagi memastikan sektor agrikomoditi kekal relevan sebagai tunjang utama pertumbuhan ekonomi negara.

Di samping itu, KPK juga sentiasa menghargai dan mengiktiraf semua pihak yang terlibat dalam sektor agrikomoditi negara.

Selain aktiviti berjalan laju, program tersebut turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah, permainan menarik dan gerai pameran daripada agensi-agensi di bawah KPK.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Korporat Lembaga Koko Malaysia (LKM), Felicity Lawrence Ening berkata, acara tersebut merupakan platform terbaik untuk memberi peluang bukan sahaja kepada pihak LKM, bahkan agensi lain di bawah KPK menjelaskan secara lanjut mengenai produk dan perkhidmatan disediakan kepada pengunjung.

Walk KPK

Sebahagian peserta yang menyertai Agrikomoditi Walk 2023, baru-baru ini.

Menurutnya, menerusi pameran pihaknya turut mempromosikan minuman koko hasil daripada penyelidikan dan pembangunan dan formulasi daripada LKM sendiri.

Bagi menunjukkan sokongan terhadap acara tersebut, LKM telah menyediakan lebih 200 cawan minuman koko secara percuma untuk memberikan tenaga kepada peserta.

“Selain minuman, LKM turut mempamerkan beberapa produk bukan makanan berasaskan koko seperti barangan kosmetik dan penjagaan diri,” jelasnya.

Selain LKM, Agrikomoditi Walk 2023 turut disertai 11 lagi agensi di bawah KPK antaranya Lembaga Lada Malaysia (MPB), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram