JIKA rakan seusianya sibuk mencari karier sesuai dengan bidang pengajian, berbeza pula dengan Fiqrie Mohd Firoz, 28, yang nekad meneruskan legasi perniagaan keluarga yang dibina sejak tahun 2017.
Keputusan yang diambil jejaka berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi daripada Universiti Sains Malaysia (USM) itu nyata membuahkan hasil apabila perniagaan baju sukan wanita yang diuruskannya semakin mendapat permintaan ramai.
Ditugaskan di bahagian pemasaran, Fiqrie berkata, sebaik sahaja tamat pengajian dalam bidang kewartawanan pada 2020, dia mula bekerja di SyuActive Sdn Bhd yang berlokasi di Puncak Alam, Selangor.
BACA LAGI: Sanggup lupakan hobi kumpul setem, simpan emas jauh lebih lumayan
Pelanggan SyuActive Sdn Bhd terdiri daripada golongan pendidik.
Anak kedua dari tiga beradik itu mengakui, sedari kecil, dia menyaksikan jerih perih ibunya menjalankan lebih 10 jenis perniagaan sejak 2006 termasuk menjual serbuk kopi, pakaian terpakai termasuk menghantar barang di kedai untuk dijual atau disebut konsainan.
Situasi itu menyebabkan tiga beradik berkenaan nekad untuk meneruskan bisnes hasil titik peluh keluarga.
"Kedai baju ini bukan perniagaan pertama keluarga kami, sebelum ini macam-macam jenis barang ibu pernah jual, sehinggalah keluarga buka kedai pakaian sukan wanita pada 2017.
"Memang dari dulu kami dah set minda untuk sambung hasil kerja keras ibu bapa.
"Mereka dah penat bina perniagaan ini, jadi kami tidak mahu membiarkan usaha mereka dibiarkan begitu dengan bekerja di tempat lain," katanya kepada Majoriti.
Syarikat yang dibina sejak tahun 2017 itu di berlokasi di Puncak Alam, Selangor.
Bercerita lanjut, anak kelahiran Selangor itu memberitahu, dia kerap mendaftar diri menyertai bengkel dan latihan untuk menambah pengetahuan dalam bidang perniagaan dan pemasaran.
Jelasnya, dia mengambil keputusan untuk menyambung pengajian dalam jurusan kewartawanan kerana ia dilihat bersesuaian dengan skop kerja ketika ini.
"Banyak yang saya pelajari termasuk asas pemasaran, bagaimana mahu membuat iklan dan cara urus kewangan dengan bijak.
"Untuk membuat kandungan media sosial yang lebih meyakinkan termasuk kapsyen bersesuaian dan sebagainya, semua itu saya masuk kelas lagi untuk belajar," katanya yang pernah mendapat tawaran untuk berkhidmat sebagai wartawan di sebuah portal berkonsepkan gaya hidup dan hiburan.
Berkongsi tentang strategi jualan pula, Fiqrie menambah, bentuk pemasaran syarikatnya kini sudah berubah ke arah lebih digital, apatah lagi dengan kehadiran variasi aplikasi seperti TikTok, Instagram dan sebagainya.
"Selain dropship, kita juga akan buat siaran langsung di TikTok setiap hari," ujarnya sambil menambah mereka dalam perancangan untuk membuka butik di beberapa cawangan lain termasuk Bangi dan Seksyen 7 Shah Alam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram