Perintis pertama ke Mesir, doktor gigi kelahiran Kelantan kentalkan hati timba pengalaman jahit muka pesakit


  • Bizz
  • Jumaat, 02 Ogos 2024

Dr Siti Mastura (kiri) selepas merawat seorang pesakit kanak-kanak di Klinik Pergigian LoveSmile.

TUGASNYA bukan sekadar mencuci atau menampal kerosakan pada gigi, malah peranan doktor gigi adalah lebih daripada itu.

Bagi Dr Siti Mastura Zulqarnain, 34, minat yang mendalam terhadap bidang pergigian sejak umur 15 tahun menyuntik semangatnya untuk berkelana menimba ilmu di Asia Barat.

Menjadi pelajar kumpulan pertama jurusan pergigian dari Malaysia yang melanjutkan pengajian di Universiti al-Azhar, Mesir, wanita berasal dari Kubang Kerian, Kelantan itu kini mampu berbangga dengan pembukaan Klinik Pergigian LoveSmile sejak 2020.

BACA LAGI: Malas gosok gigi? Doktor dedah kuman boleh ikut darah, 'melekat' di jantung

BACA LAGI: Suami juga ada peranan besar bantu elak kelahiran anak tak cukup bulan

Pengalaman berkhidmat selama dua tahun di Hospital Sungai Buloh dan Klinik Pergigian Tanjung Karang, di Selangor manakala tiga tahun di Klinik Pergigian Swasta Twin Towers, Kuala Lumpur dimanfaatkan sebaiknya sebelum mengusahakan perniagaan yang beroperasi di Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Dr Siti Mastura mendedahkan, ramai orang beranggapan peranan doktor gigi hanyalah tertumpu kepada mencuci, menampal gigi dan menyembuhkan gusi berdarah.

Bagaimanapun jelasnya, skop tugasan doktor gigi sebenarnya sangat luas.

Tambah beliau, doktor gigi boleh meneliti perkembangan rahang kanak-kanak dari awal supaya mereka membesar dengan normal.

Snapinsta.app_416645714_1337694450957385_3063608888422137188_n_1080

Klinik Pergigian LoveSmile yang dibuka sejak 2020 menerima kunjungan pelanggan daripada pelbagai peringkat umur. — Instagram/LoveSmile Dental Clinic

"Kami juga berperanan untuk membuat saringan kanser dan penyakit penyakit lain. Ini disebabkan gigi ada hubungan kait dengan tubuh manusia.

"Misalnya, masalah gusi dikaitkan dengan diabetes. Sebarang pembedahan yang melibatkan muka adalah skop doktor gigi.

"Jika berlaku kemalangan melibatkan rahang patah, kami yang akan jalankan pembedahan tersebut, tapi tidak ramai tahu perkara ini," katanya kepada Majoriti.

Ditanya tentang pengalaman paling mencabar sepanjang kariernya, Dr Siti Mastura memberitahu, beliau pernah ditempatkan di bahagian pembedahan pergigian di Hospital Sungai Buloh pada 2016.

Katanya, antara kes paling mencabar pernah ditangani adalah ketika ditugaskan menjahit wajah seorang pesakit yang hancur keseluruhan akibat kemalangan.

"Saya mengambil masa selama tiga jam untuk menjahit mukanya kembali pada asal sebelum dia dihantar ke bilik X-ray untuk rawatan susulan," ujar lulusan Ijazah Sarjana Muda Pergigian dari Universiti Al-Azhar itu.

Ancaman Revolusi Mesir

Dr Siti Mastura akui, sebagai perintis pertama jurusan pergigian dari Malaysia yang melanjutkan pengajian di universiti terkemuka dunia itu, banyak cabaran yang beliau dan rakan-rakan perlu lalui.

Antaranya ialah tiada senior yang dapat membantu mereka untuk menyesuaikan diri dengan sistem pendidikan di sana pada permulaan semester.

"Ditambah pula dengan sistem pembelajaran yang agak tidak teratur pada awalnya disebabkan pihak universiti masih tidak biasa dengan pelajar dari luar.

"Lebih parah, semasa berada di tahun ketiga pada 2011 hingga 2014, tercetusnya Revolusi Mesir yang mengancam keselamatan kami hingga kami dibawa pulang oleh kerajaan Malaysia buat sementara waktu.

"Bagaimanapun, kami terpaksa kembali semula ke Mesir untuk meneruskan pembelajaran walaupun keadaan sekeliling masih belum stabil," tuturnya.

siti

Dr Siti Mastura

Berbicara lanjut, beliau yang juga Pengasas Bersama Klara Smile, sebuah syarikat yang menjual produk pergigian berkata, bilangan doktor gigi di Malaysia sebenarnya tidak ramai iaitu kurang daripada 20,000 orang setakat ini.

Menurutnya, ini kerana universiti di Malaysia yang menawarkan jurusan tersebut agak terhad dan kekosongan yang ada juga tidak banyak, menyebabkan persaingan dalam kerjaya juga agak tinggi.

"Bagaimanapun, bilangannya menunjukkan peningkatan sejak 2010 apabila ramai pelajar yang dihantar ke luar negara untuk menyambung pengajian dalam bidang berkenaan.

"Alhamdulillah, masyarakat semakin sedar akan kepentingan penjagaan gigi. Sebab itu keseimbangan dari segi kerjaya sudah agak tinggi dalam bidang ini," katanya.

Dr Siti Mastura menambah, untuk menjadi doktor gigi memerlukan kesungguhan dan sokongan moral daripada orang sekeliling kerana perjalanannya tidak mudah.

Sehubungan itu, beliau turut menyarankan agar ibu bapa memberikan sokongan sepenuhnya jika anak-anak dilihat mula meminati bidang pergigian sejak awal.

"Selain itu, kerajaan juga harus menambah baik fasiliti pergigian di Malaysia untuk menempatkan lebih ramai doktor gigi muda.

"Bilangan klinik gigi kerajaan masih tidak mencukupi terutama di luar bandar," luahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram