Naik taraf lesen motosikal ke B penuh, ramai tanya refund, keliru jamin lulus atau tidak


  • Primer
  • Jumaat, 02 Ogos 2024

Pemegang LMM kelas B1 dan B2 selama 10 tahun dan ke atas akan layak menyertai program peralihan khas untuk mendapatkan lesen B penuh, bermula 1 Oktober depan.

PEMEGANG Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2 selama 10 tahun dan ke atas akan layak menyertai program peralihan khas untuk mendapatkan lesen B penuh, bermula 1 Oktober depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pemohon bagaimanapun perlu memenuhi syarat ditetapkan, antaranya menghadiri dan lulus program peralihan serta penyesuaian ke kenderaan motosikal berkuasa 500cc ke atas di institut memandu (IM) dengan kos yuran sebanyak RM160.

Menurutnya, pemohon perlu menjalani program amali penunggangan, informasi pemanduan selamat dan informasi pengoperasian motosikal berkuasa besar, untuk tempoh dua jam sahaja.

BACA LAGI: Skim khas benarkan lesen motosikal B1, B2 dinaik taraf ke B penuh — Menteri Pengangkutan

BACA LAGI: [VIDEO] JPJ siasat, ambil tindakan kes kanak-kanak 12 tahun pandu kereta di Puchong

LOKE

Anthony Loke

"Melalui program amali itu, pemohon mesti mendapatkan pengesahan tahap keupayaan mengendalikan motosikal berkuasa besar oleh 'Qualified Training Officer' (QTO) di IM," katanya pada Jumaat.

Menjengah ke laman media sosial, pengumuman itu nyata menerima pelbagai respons rakyat Malaysia.

Seorang pengguna Facebook dengan nama akaun Shazali berpandangan, tidak semua individu berupaya untuk menunggang motosikal berkuasa tinggi kerana ia memerlukan pengalaman dan kemahiran untuk dikuasai.

Sementara itu, Khairi Latif berpendapat, dia tidak melihat keperluan untuk langkah sedemikian dilaksanakan.

Kerajaan sebaliknya disarankan untuk membuat pemberian subsidi bagi pemegang lesen kelas B2 dan D.

"Tiada keperluan mendesak untuk (kelas) B, laksanakan pemberian subsidi 50 peratus bagi lesen B2 dan D untuk menggalakkan anak-anak muda mengambil lesen secara sah," katanya.

Bagi Yusof Said pula, langkah itu juga dilihat seolah-olah akan lebih mendatangkan keuntungan buat pihak kerajaan.

"Keluar duit juga belum tentu dijamin lulus, ikut mana pun (akan) menguntungkan pihak dia (kerajaan) juga, sepatutnya kelas dua jam sudah memadai bagi pemegang lesen kelas B2 yang lebih 10 tahun ke atas," ujarnya.

"Kena bayar RM160, tiada keperluan mendesak pun, cuma kalau lebih ramai yang mempunyai lesen kelas B nanti, kerajaanlah yang akan untung, lesen setiap tahun kena baharui," tulis Mohdhilmi Abmalek.

"Kalau yang dah ambil lesen B full sebelum skim khas macam mana? Ada refund ke?" soal Noor Amylia. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram