GAMBAR, video dan saksi boleh menjadi bahan bukti utama dalam sesebuah kes jenayah.
Namun, di zaman teknologi semakin canggih kini, perkara itu dilihat semakin mudah dimanipulasi warganet yang seolah-olah memiliki kepakaran khususnya dalam bidang fotografi dan penyunting video yang hampir sama seperti polis.
Kerisauan itu bertambah serius apabila gambar tidak sepatutnya disebar meluas di laman sosial bersama info palsu yang tidak tepat.
Perkara itu didedahkan seorang jurufoto Polis Diraja Malaysia (PDRM), Detektif Koperal Mohd Zaidie Nordin, 39, yang tegas menggesa agar perbuatan sedemikian sepatutnya dihentikan masyarakat dengan segera.
"Media sosial ini sebenarnya dah banyak sangat mengganggu kerja polis, contohnya warganet gemar kongsi gambar mangsa kemalangan tanpa menjaga sensitiviti keluarga dan paparan umum.
"Tambah pula dengan maklumat palsu yang disebarkan, secara tidak langsung menjejaskan tugas pihak polis menjalankan siasatan dalam sesebuah kes.
"Gambar akan menceritakan kes di mahkamah, maka ia sangat penting untuk dijaga dan tidak disebar tanpa kebenaran kerana ia adalah bahan bukti utama. Tapi sekarang, netizen dengan kuasa viral suka sangat kongsi dengan tujuan meraih populariti," katanya kepada Majoriti.
Mohd Zaidie merupakan anggota polis berpangkat Detektif Koperal.
Beliau yang kini bertugas di Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Negeri Melaka juga berharap agar kerajaan menambah baik akta yang mampu menghalang orang awam daripada berkongsi gambar mayat dan sebagainya di laman sosial.
"Akta perlu dikuat kuasakan untuk menghalang atau hukum individu yang ganggu tugas polis, terutamanya yang kongsi gambar mangsa.
"Zaman dahulu semua itu tidak berlaku, masyarakat nak tahu berita perlu dapatkan surat khabar setiap hari. Berbeza dengan sekarang, netizen pula seolah-olah ambil alih tugas polis.
"Sebaiknya perkara itu tidak dijadikan kebiasaan kerana boleh menghalang tugas polis," tegasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram