'Demi bantu keluarga mangsa', Hussein Omar sanggup pikul tanggungjawab besar kendali 3 tragedi pesawat terhempas


  • 112
  • Khamis, 01 Ogos 2024

Hussein Omar Khan merupakan antara individu bertanggungjawab mengendalikan kes tragedi pesawat terhempas MH370 dan MH17. — The Star

KETUA Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan merupakan individu yang tidak asing dalam mengendalikan kes berprofil tinggi.

Berpengalaman luas dalam unit Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), terutamanya bidang forensik, beliau juga mempunyai pandangan tersendiri berkaitan kes seperti nahas Elmina dan tragedi MH17 yang masih segar dalam ingatan masyarakat negara ketika ini.

Jelasnya menerusi satu temu bual bersama The Star, kejadian pesawat terhempas pada 17 Ogos tahun lalu di Elmina, Shah Alam telah memberikan tekanan kepada pasukan forensik.

BACA LAGI: 'Teringat peristiwa MH370 dan MH17', ramai bimbang dengar pesawat MH780 ke Bangkok isytihar kecemasan

BACA LAGI: Terkesan tragedi MH17, rakyat tak setuju beri Ukraine bantuan ubat, anggap banyak negara lain lebih layak

Merupakan sebahagian daripada pasukan polis yang menyiasat kehilangan pesawat MH370 pada 2014, selang beberapa bulan kemudian, negara dilanda satu lagi tragedi meragut nyawa apabila pesawat MH17 dilaporkan terhempas di Ukraine.

MH17-240623_1689568986

Pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 yang ditembak jatuh pada 17 Julai 2014.

Menggalas tanggungjawab sebagai komander ketua polis pasukan Pengecaman Mangsa Bencana, beliau mengetuai operasi di lapangan susulan tragedi itu yang dilaporkan mengorbankan seramai 10 orang.

Hussein Omar pada mulanya merasakan insiden itu sebaiknya dikendalikan di peringkat daerah tetapi apabila lebih banyak maklumat mula masuk, beliau memutuskan untuk mengambil bahagian kerana mempunyai pengalaman dalam penyiasatan nahas pesawat.

"Apabila saya dimaklumkan mengenai tragedi nahas itu, saya dalam perjalanan pulang ke rumah tetapi saya memutuskan untuk pergi ke tempat kejadian hanya untuk memeriksa anggota saya.

"Pada ketika itu saya tidak berniat untuk mengambil alih tugasnya, tetapi sebaik saya tiba di sana, saya menyedari masalah dihadapi agak rumit.

"Melihatkan keadaan mayat di tempat kejadian, saya tahu ia akan menjadi satu proses yang kompleks dan ia memerlukan pengalaman yang sangat tinggi bagi mengendalikan kes seperti ini.

"Saya tidak boleh menolak kes ini kepada anggota saya, sebaliknya menyedari bahawa saya harus berkongsi pengalaman dan melakukan ini bersama-sama dengan pasukan saya," katanya.

Jelasnya, tanggungjawab kepada keluarga mangsa mendorongnya untuk melakukan apa sahaja bagi mempercepatkan siasatan.

“Untuk membantu keluarga mangsa, saya tahu saya mampu mempercepatkan proses penyiasatan forensik dan membawa keyakinan itu kepada semua orang.

"Tanggungjawab itu menarik saya untuk menangani kes berkenaan dan mengambil alihnya hingga ke penghujungnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga pernah memegang jawatan dalam pasukan forensik, Hussein menegaskan bahawa proses pengecaman yang betul dan ketelitian di tempat kejadian adalah penting dalam memastikan mangsa dikenal pasti dengan betul.

“Anda perlu mengumpul semua mayat, jika penandaan dan pelabelan dilakukan dengan betul maka ia akan mempercepatkan proses giliran di hospital dan makmal.

“Kami tahu tiada siapa yang terselamat tetapi perkara yang boleh kami lakukan untuk keluarga mangsa ialah memastikan mereka dapat mengadakan pengebumian yang sewajarnya untuk insan tersayang yang terkorban.

"Itu adalah tanggungjawab yang besar," katanya.

skynews-mh17-malaysia-airlines_4318986

Pesawat MH17 dilaporkan ditembak jatuh di Ukraine.

Tambahnya, salah satu cabaran terbesar dihadapinya ialah memastikan orang ramai dikawal dan gambar mangsa yang terkorban dilindungi daripada tersebar bagi menghormati pihak keluarga.

“Orang ramai mengambil gambar mayat manusia dan menjejaskan sensitiviti ahli keluarga.

“Itu harus dielakkan. Foto-foto ini tidak elok untuk dikongsikan dan jika ia dimuat naik ke dalam talian maka ia adalah satu kegagalan di pihak polis,” katanya.

Penglibatan Hussein dalam tragedi itu mendapat pujian ramai kerana komunikasinya yang berterusan dan jelas dengan pengamal media serta ahli keluarga mangsa.

Sebahagian besar daripadanya berterima kasih kepada beliau dengan proses pengecaman forensik juga dipercepatkan untuk memastikan keluarga dapat mengebumikan insan tersayang selang beberapa hari selepas kejadian itu.

“Ini merupakan kes yang terpantas kami kendalikan dan mayat telah dilepaskan lebih awal daripada jangkaan.

“Dalam tiga hari, kami membersihkannya dan pada Ahad kesemuanya sedia untuk dikebumikan.

“Perkembangan kes itu dimaklumkan secara berperingkat dan sudah tentu soalan pertama yang ditanya oleh keluarga mangsa ialah ‘Berapa cepat saya boleh mengumpul mayat’.

"Kadang-kadang anda perlu mengulangi ujian makmal kerana ia bukan sampel yang baik dan mereka memerlukan pengesahan dua kali berbanding kebiasaannya.

"Orang ramai ingin tahu sebabnya dan kami terpaksa memberitahu mereka bahawa disebabkan sifat kejadian mayat itu tidak mudah dikenal pasti melalui pengecaman visual, maka kami juga perlu melakukan pengesahan DNA dan cap jari untuk mendapatkan kepastian,” jelasnya.

“Malah, Jabatan Agama Islam (JAIS) juga mengambil inisiatif untuk menanggung kos keranda dan tenaga kerja bagi urusan pengendalian jenazah.

“Kami melakukan yang terbaik yang kami mampu. Sekurang-kurangnya kami berpuas hati kerana kami melaksanakannya dengan betul dan tepat pada masanya,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram