PERISTIWA pencerobohan Lahad Datu, Sabah masih segar dalam ingatan rakyat Malaysia apabila ramai perwira negara gugur mempertahankan kedaulatan negara daripada dicerobohi pengganas Sulu pada 2013.
Pencerobohan itu membawa kepada pertempuran pada 1 Mac 2013 di Kampung Tanduo, Sabah sehingga menyebabkan 13 wira negara gugur, manakala 68 pengganas Sulu ditumpaskan.
Mengimbau kembali detik bersejarah itu, seorang anggota Polis Bahagian Siasatan Jenayah berpangkat Sarjan, Prescilla Donny, 38, berkongsi detik sukar ketika menjalankan operasi dalam pergolakan tersebut.
BACA LAGI: Kelengkapan sistem C4i antara bukti PDRM semakin tangkas, bikin penjenayah 'ketar lutut'
Jelasnya, beliau ditugaskan untuk mengiringi keluar sembilan mayat musuh yang ditemui di kawasan zon merah Felda Sahabat, Bandar Cenderawasih, Lahad Datu.
Menganggap dirinya masih mentah dalam operasi tugasan luar negeri ketika itu, beliau yang berusia 27 tahun sewaktu itu mengakui ia bukan tugas mudah apabila menyaksikan sendiri adegan berbalas tembakan di depan mata ketika kejadian.
Prescilla (kanan) ketika bertugas mengiringi keluar mayat musuh penceroboh Lahad Datu.
"Ketika kami sedang eskot mayat musuh keluar dari hutan belukar itu, ada satu tembakan berlaku dan semua diarahkan berhenti untuk pemeriksaan dilakukan.
"Situasi yang dijangka hanya seketika itu bertukar lama apabila tembakan demi tembakan dilepaskan dipercayai serangan musuh di Kampung Tanduo.
"Ia kali pertama saya berdepan situasi tembak menembak, terketar-ketar lutut dibuatnya sebab kena eskot keluar mayat dalam pada masa sama," katanya kepada Majoriti.
Prescilla kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Selangor.
Dalam pada itu, Prescilla menjelaskan bahawa tujuan pasukannya ditugaskan untuk mengiringi keluar kesemua mayat berkenaan adalah atas keperluan unit forensik bagi tujuan penyelidikan.
Tambahnya lagi, situasi itu mengakibatkan perjalanan pasukannya terhenti selama lebih tiga jam sebelum berjaya keluar dari Zon Merah yang sememangnya menjadi sasaran musuh.
"Kami tersangkut selama tiga jam dalam hutan tersebut, situasi tembak menembak itu memang bahaya dan nyawa kami juga boleh tergadai jika tersilap langkah.
"Mujur ada pasukan menembak yang sentiasa mengawal laluan kami dan setiap pergerakan dipantau rapi oleh mereka.
"Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa setiap mayat musuh dalam mana-mana kes peperangan tidak boleh ditinggalkan kerana ia boleh dijadikan sebagai bahan bukti dan kajian forensik untuk penyelidikan lanjut.
"Sehingga kini saya masih terbayang akan situasi itu walaupun ia sudah bertahun berlalu, pengalaman yang tidak mungkin dapat saya lupakan," ujarnya.
Untuk rekod, tempoh 11 Februari hingga penghujung Mac 2013 adalah antara detik hitam dalam sejarah negara apabila kedaulatan tanah air dicabul oleh sekumpulan pengganas Sulu dari selatan Filipina yang menceroboh wilayah pantai timur Sabah.
Sebelas tahun berlalu, Lahad Datu yang sebelum ini digelar 'bandar perang' kini pesat membangun, terutama dari segi ekonomi, meskipun detik hitam itu kekal dalam ingatan penduduk setempat khususnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram