[VIDEO] Pemandu maut, penumpang parah kereta terbabas rempuh penghadang jalan di Iskandar Puteri


  • 112
  • Ahad, 04 Ogos 2024

Keadaan kereta yang dinaiki dua lelaki tempatan selepas melanggar besi penghadang jalan.

SEORANG pemandu kereta maut, manakala penumpang parah selepas kereta dinaiki terbabas di bulatan Persiaran Bukit Indah, Taman Bukit Indah dekat Iskandar Puteri, Johor Bahru, Johor pada awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kemalangan kira-kira pukul 1.45 pagi itu berlaku apabila kereta dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 24 tahun hilang kawalan sewaktu hendak memasuki bulatan persiaran tersebut.

"Kereta yang turut dinaiki rakannya yang juga seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun kemudian melanggar besi penghadang jalan," katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

BACA LAGI: Kemasukan matrikulasi: Penekanan berlebihan terhadap meritokrasi berpotensi tingkat jurang sosioekonomi

BACA LAGI: Aktivis politik kena panggil polis dan MCMC, Tian Chua kritik kebebasan bersuara makin terancam sekarang

Kumarasan berkata, pemandu kereta tercampak keluar daripada kereta dan mengalami kecederaan parah di kepala serta patah tangan kanan sebelum dilaporkan maut.

Sementara itu, jelas beliau, penumpang kereta pula parah di kepala, kaki dan tangan.

"Mayat dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), untuk bedah siasat dan rakannya sedang mendapatkan rawatan di hospital yang sama," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram