Ketum perlu dijadikan komoditi negara — Exco Pahang


  • Primer
  • Ahad, 04 Ogos 2024

Jika dimanfaatkan, ketum boleh menjadi satu komoditi atau produk untuk menjana ekonomi.

KETUM perlu dijadikan sebagai salah satu produk komoditi negara kerana ia berupaya membantu menjana ekonomi, kata Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak.

Memetik laporan FMT, Mohd Soffi mencadangkan agar kajian menyeluruh dijalankan terhadap potensi tanaman itu disebabkan ia banyak digunakan di Eropah sebagai ubat ketika ini.

Meskipun sering dikaitkan dengan hal negatif, namun jika dimanfaatkan, ketum boleh menjadi satu komoditi atau produk untuk menjana ekonomi negara.

BACA LAGI: Segera wartakan ketum sebagai dadah berbahaya - MASAC

BACA LAGI: Beri kesan euphoria hingga ketagihan, ketum perlu dikawal — AADK

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak.

Mohd Soffi Abd Razak

"Kalau kita lihat banyak mudarat dalam negara, kita proses dan eksport. Jangan jual ketum mentah sebaliknya kita proses jadikan produk (eksport) ke negara maju yang mereka tahu dia boleh kawal penggunaan," katanya pada Ahad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta itu bagaimanapun berkata, garis panduan perlu dilaksanakan bagi mengelakkan penyalahgunaan dan supaya ketum tidak ditanam sesuka hati tanpa pengawasan.

Ujarnya, Kementerian Perladangan dan Komoditi juga boleh menanam ketum secara besar-besaran di tanah terbiar yang bersesuaian.

"Kita buat kajian dan patenkannya, Kementerian Perladangan dan Komoditi patut buat tanaman besar-besaran dengan melihat tanah terbiar yang boleh kita tanam ketum.

"Cadangan ini dikemukakan dalam mesyuarat Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bersama exco pertanian negeri-negeri di Putrajaya, Khamis lalu," jelasnya.

Media pada 13 April lalu melaporkan seorang penyelidik mencadangkan kerajaan membenarkan ketum dieksport ke luar negara bagi membolehkan tumbuhan itu dijadikan ubat seterusnya menjana pendapatan kepada petani luar bandar.

Pensyarah Kanan Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Darshan Singh berkata, melalui kaedah tersebut, petani luar bandar yang terkesan dengan harga komoditi tidak menentu akan mendapat manfaat hasil penjualan ketum. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram