Kemasukan matrikulasi: Penekanan berlebihan terhadap meritokrasi berpotensi tingkat jurang sosioekonomi


  • Massa
  • Jumaat, 05 Jul 2024

PADA 30 Jun lalu, kerajaan mengumumkan semua pelajar cemerlang yang mendapat 10A dan ke atas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan mendapat jaminan mendapat tempat ke program matrikulasi tanpa mengira kaum dan latar belakang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat bertujuan bagi memastikan semua pelajar cemerlang tanpa mengira kaum diberi peluang sama adil dalam mendapat pendidikan lebih tinggi.

Langkah itu menandakan perubahan baharu dalam dasar kerajaan terhadap sistem kemasukan ke program pra-universiti tersebut yang sebelum ini dilaksanakan dengan berpandukan kuota bumiputera.

BACA LAGI: Kadar kesuburan menurun: Tingkat jumlah taska dan contohi Korea antara 4 cara tangani TFR

BACA LAGI: Malaysia sedia kerjasama dengan Indonesia, hantar pasukan pengaman ke Palestin

Pada ketika ini, kuota kemasukan ke matrikulasi yang berada di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) ditetapkan bagi 90 peratus pelajar bumiputera dan 10 peratus (bukan bumiputera).

Untuk rekod, matlamat penubuhan program matrikulasi pada 1999 adalah bertujuan meningkatkan kadar kemasukan pelajar bumiputera ke dalam kursus sains, teknologi dan profesional di universiti awam.

Tawaran kemasukan itu kemudiannya mengalami sedikit perubahan pada 2003 apabila ia turut meliputi kepada pelajar bukan bumiputera, dan juga pelajar luar bandar serta dari golongan B40.

Mengulas mengenai langkah tersebut, penyelidik daripada Universiti College of London (UCL), Shakira Teh Sharifuddin berkata, keputusan itu merupakan satu langkah positif terutamanya dalam menambah baik ketelusan dalam proses pemilihan pelajar ke program tersebut.

Pada masa sama, beliau berkata, keputusan kerajaan mengekalkan kuota bumiputera itu juga secara langsung meningkatkan persaingan antara pelajar bukan sahaja dalam kalangan bumiputera tetapi juga bukan bumiputera.

Bagaimanapun, Shakira berkata, peralihan kepada sistem kemasukan berdasarkan meritokrasi itu sekiranya tidak dilaksanakan dengan teliti turut berpotensi memberi kesan terhadap ketidaksamaan jurang sosioekonomi sedia ada.

KUALA LUMPUR, 2 Julai -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen hari ini.-- fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

"Antara kelebihan program matrikulasi ialah ia dibiayai hampir sepenuhnya oleh Kerajaan. Kecuali yuran pendaftaran yang perlu dibayar pelajar, yuran pengajian dan penempatan atau ‘accommodation’ ditanggung kerajaan.

"Tambahan, lokasi kolej matrikulasi yang meluas di seluruh negara, menjadikan program matrikulasi ini lebih mudah untuk dihadiri terutamanya bagi pelajar yang tinggal di kawasan luar bandar atau terpencil, di mana kos perjalanan boleh dikurangkan.

"Proses pemilihan pelajar secara meritokrasi yang memberi penekanan yang tinggi atau mutlak kepada pencapaian akademik, boleh menyumbang kepada jurang sosioekonomi atau perbezaan kelas menjadi semakin lebar," katanya kepada Majoriti.

Shakira yang kini sedang membuat penyelidikan di Doktor Falsafah (PhD) mengenai sekolah berasrama penuh dan budaya meritokrasi di Malaysia berkata, banyak kajian menunjukkan latar belakang sosioekonomi seseorang pelajar berkait rapat dalam menyumbang kepada bagaimana prestasi dan pencapaian pelajar tersebut.

Sebagai contoh, beliau berkata, ibu bapa yang berkemampuan boleh menghantar anak-anak ke kelas tambahan atau tuisyen dan membeli bahan rujukan tambahan seperti buku-buku latihan sekali gus memberikan kelebihan buat mereka untuk mendapat keputusan baik dalam pendidikan.

"Jadi, apabila perbezaan sosioekonomi tidak diambil kira dan sistem pemilihan pelajar adalah berlandaskan meritokrasi mengikut pencapaian akademik semata-mata, peluang pendidikan di peringkat tinggi mungkin akan lebih memihak kepada mereka daripada latar belakang sosioekonomi yang tinggi, sama ada bumiputera atau bukan bumiputera," ujarnya.

Menurut beliau, bagi pelajar-pelajar dari golongan yang tidak berkemampuan atau susah, alternatif lain untuk program pra-universiti lazimnya adalah dengan memasuki ke program STPM.

Namun, beliau berkata, program Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) secara amnya adalah lebih lama berbanding program matrikulasi yang boleh dihabiskan dalam masa setahun di samping sukatan pelajaran atau silibus STPM yang lebih mencabar.

Sehubungan itu, beliau berpandangan, untuk program pendidikan ke peringkat ijazah yang dibiayai oleh dana awam, adalah lebih baik sekiranya ia dilakukan dengan mengambil kira pencapaian akademik dan latar belakang sosioekonomi.

Untuk rekod, keputusan terbaharu kerajaan berhubung kemasukan ke matrikulasi ini turut mendapat reaksi daripada Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam dalam satu kenyataan membangkitkan persoalan mengenai bagaimana kerajaan boleh melaksanakan langkah tersebut tanpa menjejaskan kuota sedia ada yang diperuntukkan kepada bumiputera.

Ini kerana menurutnya, pada ketika ini, jumlah pelajar Cina yang memperoleh keputusan SPM cemerlang adalah jauh melebihi jumlah keseluruhan pelajar yang diterima masuk ke program matrikulasi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram