Pita suara Steven Tyler rosak kekal, konsert jelajah Aerosmith dibatalkan


  • Hiburan
  • Ahad, 04 Ogos 2024

Penyanyi Aerosmith, Steven Tyler mengalami kecederaan pada pita suara sehingga kumpulan Aerosmith terpaksa bersara daripada konsert jelajah mereka.

KUMPULAN muzik ikonik, Aerosmith mengumumkan bahawa mereka tidak akan mengadakan jelajah lagi memandangkan suara penyanyi, Steven Tyler telah rosak secara kekal akibat kecederaan pada pita suara pada tahun lepas.

Kumpulan yang terkenal dengan lagu seperti Love in an Elevator dan Livin' on the Edge itu mengumumkan pembatalan tarikh yang masih berbaki dalam jelajahnya.

"Kami mengambil keputusan yang sukar tetapi tetap perlu diteruskan iaitu untuk bersara dari konsert jelajah," kata kumpulan itu menerusi kenyataan.

BACA LAGI: ‘Mahu jadi isteri no.2 suami saya tak?’, Mekyun geleng kepala diajak ‘bermadu’ oleh peminat

BACA LAGI: Anak jati Pulau Pinang cipta kelainan, guna rekaan Mughal dalam busana 'custom-made'

WhatsApp Image 2024-08-04 at 12.25.02 PM

Kumpulan Aerosmith membuat persembahan Peace Out: The Farewell Tour di Philadephia, Amerika Syarikat.

Kumpulan yang banyak membawakan lagu hits itu turut memberikan perkembangan terkini tentang suara Tyler.

"Tyler habiskan masa berbulan-bulan untuk dapatkan semula suaranya seperti dahulu (sebelum kecederaan).

"Kami melihat usaha kerasnya untuk pulih termasuk memiliki pasukan perubatan terbaik.

"Malangnya, jelas sekali, mustahil untuk Tyler pulih sepenuhnya daripada kecederaan vokal yang dialami," katanya.

Sebelum ini, Tyler mengumumkan pita suaranya tercedera pada September tahun lepas sewaktu mengadakan persembahan di Peace Out: The Farewell Tour.

Pada masa itu, Tyler berkata, kecederaan itu menyebabkan pendarahan tetapi dia berharap kumpulan itu akan kembali selepas menangguhkan beberapa pertunjukan.

Untuk rekod, vokal Tyler yang mantap telah menjana katalog hits Aerosmith yang besar sejak pembentukan kumpulan itu pada tahun 1970, termasuk Dream On, Walk This Way dan Sweet Emotion.

"Kami sentiasa mahu memesongkan fikiran anda apabila membuat persembahan. Seperti yang anda tahu, suara Steven adalah instrumen yang tiada tandingannya.

"Ia adalah satu penghormatan dalam hidup kami untuk muzik kami menjadi sebahagian daripada hidup peminat," katanya.

Aerosmith pernah menerima gelaran Rock and Roll Hall of Fame selain memenangi anugerah Grammy sebanyak empat kali.

Selain Tyler, ahlinya terdiri daripada Joe Perry, Brad Whitford, Tom Hamilton dan Joey Kramer. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram