Segera wartakan ketum sebagai dadah berbahaya - MASAC


  • Primer
  • Ahad, 07 Mei 2023

MASAC menyeru kerajaan segera menggazetkan ketum sebagai sejenis dadah di bawah jadual Akta Dadah Berbahaya (ADB) sebelum hujung tahun ini.

MAJLIS Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC) pada Ahad meminta kerajaan segera menggazetkan ketum sebagai sejenis dadah di bawah jadual Akta Dadah Berbahaya (ADB) sebelum hujung tahun ini.

Setiausaha Agung MASAC, Raja Azizan Suhaimi berkata, langkah drastik menangani gejala ketagihan air ketum tersebut adalah bagi mengelakkan berlakunya lambakan penagih dadah ‘ekspres’ baharu yang lahir daripada pengambilan bahan itu yang kini semakin menular dalam kalangan masyarakat.

“Sudah sampai waktunya permasalahan pengambilan ketum ini tidak dilihat enteng oleh semua pihak kerana ia ibarat api dalam sekam yang akan ‘membakar negara’ dari dalam secara diam-diam dan amat perlu ketum ini digazetkan sebagai sejenis dadah,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Raja Azizan berkata, sebagai langkah intervensi awal sebelum ketum diwartakan di bawah ADB, Pusat Pemulihan Dadah Persendirian (PPDP) di seluruh negara boleh digerakkan untuk mendaftar penagih ketum sebagai in house patient atau out patient bagi mendapatkan rawatan secara one-off tanpa hukuman atau rekod jenayah dengan menggunakan dana kerajaan.

Katanya, badan bukan kerajaan (NGO) berkait dadah yang tiada kemudahan PPDP pula boleh disediakan dana bagi mengadakan program ceramah dan penyaluran maklumat kepada mereka yang belum terlibat atau baru sahaja mula ‘berjinak’ dengan pengambilan air ketum.

“MASAC mengharapkan sekiranya ada dana daripada kerajaan untuk NGO membantu gerakan antiketum ini, biarlah ia datang dari Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dua tahun pertama ini sebelum pewartaan ketum sebagai dadah berbahaya.

“NGO berkait dadah ini dapat menggunakan dana, kemudahan, kepakaran perubatan KKM sebagai usaha awal menyelesaikan permasalahan yang semakin meruncing dalam masyarakat,” katanya

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, beliau berkata, MASAC menyokong penuh usaha Jabatan Penjara Malaysia menjadikan Pendekatan Pemulihan Dalam Komuniti sebagai pilihan utama mengurangkan jenayah berulang terutamanya bagi kesalahan melibatkan kes penyalahgunaan dadah serta penjual dadah kecil-kecilan menjelang 2030.

Menurutnya, langkah tersebut bukan sahaja dapat menyelesaikan isu kesesakan dalam penjara tetapi juga membantu mengatasi masalah penagihan dadah berulang secara kos efektif serta mengajak lebih ramai penagih mendapatkan rawatan secara sukarela.

“Ketagihan dadah adalah penyakit otak kronik yang mudah berulang dan berpanjangan dan kerana itu KKM perlu dilibatkan secara serius dalam merawat penagih dadah untuk mengubah persepsi masyarakat yang ketika ini melihat golongan pesalah dadah ini sebagai penjenayah dan menjadi punca utama mereka kembali ke kancah penagihan.

“Perintah untuk menjalani pemulihan komuniti boleh dikeluarkan mahkamah bagi mereka yang terlibat dengan dadah untuk taat mengikuti pemulihan dan sebarang keingkaran atau lari dari pemulihan boleh diteruskan dengan hukuman di penjara yang lebih berat,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram