Speaker Johor maklum SPR notis kekosongan kerusi DUN Mahkota


  • Primer
  • Ahad, 04 Ogos 2024

Allahyarhamah Sharifah Azizah menghembuskan nafas terakhirnya di HEBHK, Kluang pada Jumaat.

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) sudah dimaklumkan mengenai kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada Jumaat lalu.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, kekosongan kerusi DUN Mahkota itu dimaklumkan kepada SPR pada pagi Ahad.

"Pagi ini saya memaklumkan SPR melalui hantaran faks mengenai kekosongan kerusi DUN Mahkota, susulan penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, meninggal dunia Jumaat lalu. Justeru, DUN Johor menyerahkan kepada SPR untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

BACA LAGI: PM Anwar ucap takziah atas pemergian ADUN Mahkota Sharifah Azizah

BACA LAGI: Unit Media PM kutuk Meta padam gambar pertemuan Anwar-Ismail di Doha

WhatsApp Image 2024-08-04 at 12.42.10 PM (1)

Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, kekosongan kerusi DUN Mahkota itu dimaklumkan kepada SPR.

Allahyarhamah Sharifah Azizah, 64, meninggal dunia, kira-kira pukul 12.25 tengah hari Jumaat lalu.

Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Kluang sejak 1993 itu juga adalah bekas Ketua Wanita UMNO Johor.

Beliau memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022.

Pada PRN Johor yang diadakan pada Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon Barisan Nasional (BN) menang kerusi DUN Mahkota dengan 16,611 undi dan mencatatkan majoriti sebanyak 5,166.

Beliau menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Taqiuddin Cheman yang memperoleh 11,445 undi. Calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Nor Lingan pula meraih 7,614 undi manakala calon WARISAN, Mohamed Noor Suleiman mendapat 555 undi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram