SETIAP syarikat disaran membina dasar polisi dan undang-undang baharu bagi mengesan punca kebocoran data individu yang kerap berlaku kebelakangan ini.
Dakwaan segelintir masyarakat yang menyalahkan pemegang data sebagai dalang kepada segala isu berbangkit, semakin kritikal apabila maklumat serta butir diri seseorang itu tidak tersimpan selamat.
Mengulas lanjut hal itu, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Digital Negara, Norsyalida Kamarudin menjelaskan bahawa Kementerian Digital tidak sepatutnya dipersalahkan dalam isu berkenaan.
BACA LAGI: 'Data kita senang betul leak', maklumat lebih 1,300 mangsa banjir bocor
BACA LAGI: Data bocor lagi, kali ini pengguna media sosial dakwa melibatkan pegawai tentera pula
Katanya, Jabatan Digital Negara di bawah Kementerian Digital sentiasa berusaha menaik taraf sistem dan keselamatan data pengguna.
"Kementerian Digital sentiasa mengutamakan keselamatan data pengguna daripada bocor, segala isu yang berbangkit tiada kaitan dengan kementerian.
"Jika berlaku kebocoran data, ia sebenarnya di bawah tanggungjawab sesebuah syarikat ataupun pemegang data itu sendiri, kemungkinan wujudnya individu yang tidak bertanggungjawab sengaja mencetuskan masalah.
"Jadi, sebaiknya setiap agensi ataupun syarikat bina dasar polisi sendiri untuk kesan segala kegiatan pencurian data, jika polisi sedemikian ada, maka tindakan undang-undang dan denda boleh dikenakan kepada si pelaku," katanya kepada Majoriti.
Norsyalida ditemui pada sambutan Bulan Keselamatan Negara 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada Khamis.
Anwar Ibrahim melancarkan Bulan Keselamatan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada Selasa.
Dalam pada itu, Norsyalida turut menjelaskan bahawa kerajaan kini sedang dalam fasa akhir untuk memperkenalkan akta berkaitan perkongsian data.
"Memang ada akta baharu akan ditubuhkan tidak lama lagi, ia dijangka akan berkuat kuasa pada Oktober nanti tetapi masih di fasa akhir.
"Maklumat terperinci masih belum boleh didedahkan tetapi ia ada kaitan dengan undang-undang simpanan dan kebocoran data pengguna," katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis perasmian Bulan Keselamatan Negara berkata, aspek keselamatan siber harus diberi keutamaan memandangkan Malaysia masih berada di tahap lemah berbanding negara-negara lain.
Katanya, beberapa tindakan tegas diperlukan, antaranya peraturan yang bakal diperkenal, bertujuan mengatasi jenayah dalam talian dan buli siber, sekali gus mewujudkan persekitaran maya yang selamat untuk pengguna.
Antara inisiatif kerajaan dalam menangani isu berkenaan adalah dengan memperkenalkan Rang Undang-Undang Keselamatan Siber dan baru-baru ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil serta Menteri Digital, Gobind Singh Deo memberi banyak tumpuan supaya keselamatan dalam talian itu dijamin untuk rakyat dalam dan luar negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram