Sanggup lupakan hobi kumpul setem, simpan emas jauh lebih lumayan


  • Bizz
  • Jumaat, 02 Ogos 2024

Antara sebahagian daripada 500 emas satu gram kepunyaan Adam Fahmi.

BERMULA dengan hobi mengumpul setem, seorang penjawat awam mengubah angin dengan mula mengumpul emas 999 seberat 0.5 gram dan satu gram selepas hobi tersebut lebih membawa pulangan lumayan.

Kira-kira 11 tahun lalu, Adam Fahmi Ghazali, 35, mengakui, kesukaran mencari pengumpul untuk menjual semula setem jika keadaan terdesak menjadi faktor pendorong beliau beralih minat ke arah penyimpan emas.

Nasihat pakar untuk mengumpul harta yang meningkat nilai seperti emas, menambahkan lagi semangat Adam Fahmi untuk bergiat aktif dalam aktiviti berkenaan dan perlahan-lahan meninggalkan hobi mengumpul setem.

BACA LAGI: Kanak-kanak 6 tahun hilang ketika hadiri sambutan Bon Odori di Johor

BACA LAGI: 'Cukup-cukuplah', MB Johor tegaskan dakwaan kasino di Forest City fitnah, berniat jahat

WhatsApp Image 2024-08-01 at 22.41.31

Nilai intristik yang dimiliki menjadikan emas berkenaan turut sesuai dijadikan sebagai hadiah.

"Uniknya hobi ini setiap keluaran ada nombor siri dan jumlahnya terhad. Ada keluaran emas 100 keping sahaja untuk pasaran dunia, jadi siapa yang dapat beruntunglah kerana nilainya meningkat berkali ganda selepas itu kerana ia diburu.

"Di Malaysia, paling ramai orang cari adalah emas edisi Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong pada 2017.

"Ketika itu harganya tidak sampai RM300, namun kini jika ia dijual semula harganya mencecah lebih RM800," ujar Adam Ghazali sambil memberitahu koleksi emas pertama miliknya adalah edisi Pos Malaysia.

Nilai intristik yang dimiliki menjadikan emas berkenaan turut sesuai dijadikan sebagai hadiah termasuk sempena hari lahir, ulang tahun perkahwinan, konvokesyen atau diberikan dalam bentuk duit raya.

Ditanya sama ada pernah menjual koleksi berkenaan, Adam Fahmi mengakui telah menjual 500 keping emas untuk menyelesaikan hutang, selain digunakan sebagai bayaran deposit rumah.

WhatsApp Image 2024-08-01 at 22.43.34

Adam Fahmi juga merupakan salah seorang 3 Star Founder Master Dealer dalam Public Gold.

"Hutang pinjaman peribadi berjumlah RM30,000 diselesaikan dengan emas berkenaan ketika harga emas meningkat. Saya juga jual emas untuk bina chalet dan inap desa di Cameron Highlands, Pahang.

"Kalau saya tak jual koleksi emas yang saya ada ketika ini sudah lebih 1,000 keping secara keseluruhan," katanya yang sering mengikuti seminar kewangan.

Adam Fahmi menambah, simpanan emasnya sehingga kini mencecah lebih 500 keping emas, dengan 400 keping emas satu gram, sementara selebihnya emas 0.5 gram.

Antara koleksi emas yang beliau miliki adalah edisi Marvel merangkumi pelbagai adiwira, kartun Disney dan kelab bola sepak Eropah yang kesemuanya dibeli dengan syarikat sah.

"Koleksi pertama saya beli nilai emas pada waktu itu adalah RM140 satu gram, kini harganya mencecah RM350.

"Semua koleksi ini saya tidak simpan di rumah atas faktor keselamatan. Kalau di Akaun Emas GAP Public Gold boleh simpan tanpa sebarang upah dan caj.

"Saya juga simpan di dalam peti simpanan selamat dengan bayaran RM500 untuk lima tahun. la berbaloi kerana lebih selamat dan ada insurans jika berlaku kejadian tidak diingini," jelas beliau yang juga merupakan salah seorang 3 Star Founder Master Dealer dalam Public Gold. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram