ICTCC, HDC bantu 300 PKS tembusi pasaran halal global China


  • Bizz
  • Rabu, 31 Jul 2024

ICTCC yang diwakili Suhaidi (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan bernilai RM50,000 kepada HDC.

INTERNATIONAL Cultural Trade Collaboration Centre (ICTCC) dengan kerjasama Halal Development Corporation Berhad (HDC) menjalinkan usaha sama strategik dalam usaha memperkasa industri halal negara dengan penglibatan seramai 300 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pengerusi ICTCC, Datuk Suhaidi Sulaiman berkata, kerjasama itu merupakan komitmen ICTCC kepada HDC bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan 300 syarikat PKS untuk menembusi pasaran halal di China, sekali gus membuka peluang meneroka pasaran yang lebih meluas.

Menurutnya, ia juga diharapkan dapat memperkukuh hubungan kerjasama antara kedua-dua belah pihak.

BACA LAGI: 'Kalau ada 100 usahawan macam Khairul Aming, lebih 10,000 anak muda takkan tinggalkan Kelantan'

BACA LAGI: 'Kalau ada 100 usahawan macam Khairul Aming, lebih 10,000 anak muda takkan tinggalkan Kelantan'

MEDIA_ICTCC_002

Suhaidi berharap kerjasama itu dapat meningkatkan keupayaan 300 syarikat PKS untuk menembusi pasaran global.

"ICTCC merupakan inisiatif korporat swasta yang ditubuhkan melalui beberapa entiti perniagaan dan pertubuhan melibatkan Syarikat Cangkat Cendana Group Sdn Bhd, Topwork Global (M) Sdn Bhd, Persatuan Muafakat One Belt One Road dan Global Networks (Beijing) IIC Services Co Ltd.

"Diasaskan dengan visi untuk meningkatkan industri halal pada skala global, ICTCC menyediakan PKS dengan akses kepada ekosistem pasaran digital, ruang simpanan gudang bebas cukai, peluang pembiayaan perniagaan, padanan perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan perniagaan kepada pengguna (B2C) serta peluang lain di pasaran China mahupun lain-lain negara.

“ICTCC berada di Zon Ekonomi Bebas, Beijing Daxing International Airport (Langfang) dan bakal dipenuhi syarikat-syarikat PKS mulai September 2024 yang dijangka beroperasi secara penuh pada November ini,” katanya ketika sidang media pengumuman kolaborasi strategik tersebut, di Menara KPGM pada Selasa.

Mengulas lanjut, Suhaidi berkata, persepsi dan keupayaan menyesuaikan diri dalam kalangan usahawan itu sendiri menjadi antara cabaran awal dalam menjayakan usaha tersebut.

"(Mungkin ada yang berfikir) kenapa nak pergi (sampai ke) China, jauhnya, (sedangkan) kita boleh jual di (misalnya) Temerloh, Kota Kinabalu, buat apa nak pergi berniaga sampai ke China?

"Sebab itu kita nak jemput sedikit demi sedikit, PKS juga sudah diberi latihan daripada HDC, apa yang kita perlu buat ialah beri galakan kepada mereka," katanya.

MEDIA_ICTCC_001

Hairol Ariffein berkata, usaha sama antara ICTCC dengan HDC bersifat holistik dan penyelesaian secara end-to-end.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata, China sememangnya merupakan destinasi eksport produk halal yang utama iaitu RM6.25 bilion atau 11.6 peratus daripada RM54 billion eksport halal negara pada tahun 2023.

Ujar beliau, kerajaan melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan HDC sentiasa berusaha meningkatkan jumlah PKS berstatus halal yang berupaya mengeksport ke negara dengan jumlah penduduk Islam yang tinggi, menerusi pelbagai platform seperti akses pembiayaan, pasaran, latihan, perundingan dan pemasaran digital.

"Banyak sebenarnya produk Malaysia yang dibawa masuk ke pasaran China sebelum ini, namun kebanyakannya hanya menyediakan tempat, PKS pergi ke sana dan pamerkan produk selama dua minggu.

"Namun tiada pihak yang benar-benar membawa produk tersebut ke pasaran.

"Disebabkan itu usaha sama antara ICTCC dengan HDC bersifat holistik dan penyelesaian secara end-to-end.

"Untuk peringkat awal kita pilih syarikat yang benar-benar mempunyai keupayaan untuk hantar produk mereka ke China, manakala HDC akan sediakan platform," jelasnya.

Sempena pengumuman kolaborasi strategik tersebut, ICTCC yang diwakili Suhaidi turut menyerahkan sumbangan bernilai RM50,000 kepada HDC sebagai rakan strategik Persidangan Perniagaan Halal Dunia (WHBC) yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada September ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram