Hilang 38 hari, di mana Prebet Fakhrullah?


  • 112
  • Khamis, 01 Ogos 2024

Prebet Fakhrullah telah berkhidmat dalam tentera sejak dua tahun lalu.

POLIS meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang anggota tentera, Prebet Muhammad Fakrullah Nazri, 21, yang hilang sejak 38 hari lalu selepas keluar dari rumahnya bagi melapor diri bertugas di Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka.

Bapa mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya pada 20 Julai lalu, sejurus mendapati mangsa gagal dikesan keberadaannya sejak 24 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa yang telah berkhidmat dalam tentera sejak dua tahun lalu difahamkan keluar rumah pada pukul 8.10 malam untuk melapor tugas di kem tersebut selepas tamat tempoh bercuti.

BACA LAGI: Kanak-kanak 6 tahun hilang ketika hadiri sambutan Bon Odori di Johor

BACA LAGI: 'Cukup-cukuplah', MB Johor tegaskan dakwaan kasino di Forest City fitnah, berniat jahat

Mangsa hilang sejak 38 hari lalu selepas keluar dari rumahnya bagi melapor diri bertugas di Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka.

Menurutnya, lelaki itu bagaimanapun dilaporkan tidak hadir bertugas selepas keluar rumah menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC warna hijau bernombor pendaftaran MBR 7230.

“Sehingga hari ini memasuki hari ke 38, anggota tentera berpangkat prebet itu gagal dihubungi dan dikesan.

"Mangsa kali terakhir dilihat keluar dengan berpakaian baju T berkolar warna biru dan seluar coklat serta berkasut sukan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Christopher, ciri fizikal lain termasuk berambut pendek bewarna hitam, kulit hitam manis, berbadan kurus dengan anggaran tinggi 172 sentimeter.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Sarjan Mejar Zulkeple Berahim di talian 010-505 2368 atau Balai Polis Tanjung Kling 06-351 1222," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram