Hasilkan makanan di halaman rumah, penduduk Pasir Gudang menuju bandar rendah karbon


  • Bizz
  • Khamis, 01 Ogos 2024

Ishak (tengah) ketika bertemu penduduk di Flat Taman Cendana untuk berbincang mengenai penanaman di taman bandar mereka.

DALAM usaha merealisasikan pelaksanaan bandar rendah karbon, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) di Johor kini menggiatkan usaha untuk mempromosikan pertanian bandar.

Ahli Majlis Zon MBPG Cendana, Ishak Mohd Yusoff berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan jabatan pertanian negeri untuk memberi latihan kepada penduduk yang menetap di Flat Taman Cendana bagi menghasilkan makanan di halaman rumah sendiri.

“Ladang bandar kami terletak di Blok 12 yang dipenuhi dengan tanaman seperti saderi, kubis, bayam dan terung, ada yang ditanam di tanah atau melalui hidroponik,” katanya.

BACA LAGI: Isu orang tengah, pemasaran bayangi kejayaan projek bawang tempatan di Ladang Bikam

BACA LAGI: Tiga cabaran awal perlu kerajaan tempuh sebelum perkasa sektor pertanian

CAP staff Saraswathi (right) and Zahari tending to a variety of plants at CAP's urban farm. — Photos: Consumers' Association of Penang

Usaha untuk melaksanakan pertanian bandar semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Malaysia. — Gambar hiasan

Beliau berkata, komuniti juga dalam perancangan untuk menanam lengkuas, serai, bunga halia obor, pandan dan cendawan tiram dalam masa terdekat.

Selain itu, mereka juga difahamkan dalam proses menghasilkan serunding yang diperbuat daripada cendawan yang ditanam di ladang berkenaan.

"Kitaran penuaian kami ketika ini adalah setiap tiga minggu dan semua hasil dijual pada harga RM1 setiap 100 gram (g)," ujarnya sambil menambah bahawa ladang itu diperkenalkan pada Ogos tahun lalu.

Sementara itu, Ahli Majlis Zon MBPG Rinting 2, Law Yiak Kwang berkata, latihan dan bantuan yang diberikan oleh Jabatan Pertanian juga membantu memupuk semangat kemasyarakatan dan kerjasama dalam kalangan penduduk di Flat Balau Taman Rinting.

Menurut beliau, inisitiaf berkenaan berupaya menggalakkan lebih ramai masyarakat untuk bekerjasama ke arah matlamat yang sama, di samping mengukuhkan ikatan kejiranan dan perpaduan sosial.

"Projek kami bermula pada penghujung 2019 dan ia telah membantu mengurangkan perbelanjaan isi rumah untuk hasil segar, membolehkan keluarga memperuntukkan sumber mereka kepada keperluan penting lain," katanya.

Yiak Kwang menjelaskan, mereka mempunyai dua jenis ladang, iaitu polibeg fertigasi yang digunakan untuk menanam kacang panjang, terung dan peria.

Sementara hidroponik pula khusus untuk penanaman daun saderi dan kubis napa.

Katanya, lebihan hasil tanaman juga boleh dijual di pasaran tempatan, sekali gus menyediakan aliran pendapatan tambahan untuk ahli komuniti yang mengambil bahagian.

"Wang yang diperoleh juga digunakan untuk membeli polibeg, benih dan baja baharu.

"Selain itu, wang daripada jualan turut dilaburkan semula untuk mencipta sistem yang lebih mampan bagi menambah baik penanam mereka,” tambahnya.

Dalam pada itu, Ahli Majlis MBPG Kota Bestari, S Mahendran berkata, pihaknya telah menghantar cadangan kepada majlis perbandaran untuk membenarkan sebidang tanah yang tidak digunakan di kawasan itu dijadikan sebagai ladang bandar.

Beliau turut memberitahu, wang daripada ladang bandar boleh digunakan untuk membantu golongan yang memerlukan.

“Kami sudah mempunyai ladang bandar di sepanjang Jalan Ixora 3 di Taman Bestari Perdana, tetapi ia diuruskan secara sukarela.

“Kami berharap dengan adanya ladang bandar baharu itu, kami dapat mewujudkan sistem yang lebih kemas untuk menguruskannya,” tambah Mahendran. — The Star/REMAR NORDIN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram