MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan dakwaan mengenai cadangan pembinaan kasino di Forest City di Iskandar Puteri adalah satu fitnah dan berniat jahat untuk mencemarkan imej pembangunan hartanah itu.
Beliau berkata, dakwaan itu juga dilihat mengulangi usaha untuk menimbulkan persepsi negatif bagi menggagalkan pembangunan Forest City seperti yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu pada tahun 2018.
“Berita berhubung pembinaan dan pengurusan lesen kasino di Forest City adalah satu fitnah liar dan tidak benar sama sekali. Ia tidak ubah umpama bau busuk tidak berbangkai atau rantai besi dimakan bubuk.
BACA LAGI: [VIDEO] Lebih 30 jadi korban banjir lahar, aliran lava sejuk Gunung Marapi
BACA LAGI: Bas Thailand dibenarkan bawa pelancong ke semua negeri di Malaysia — MOT
Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan dakwaan mengenai cadangan pembinaan kasino di Forest City di Iskandar Puteri adalah satu fitnah dan berniat jahat. — THOMAS YONG/The Star
“Ini adalah fitnah yang tidak masuk akal, melainkan hanya berunsurkan niat jahat untuk mencemar imej Forest City dan Johor keseluruhannya, cukup-cukuplah,” katanya ketika menjawab soalan lisan Liow Cai Tung (PH-Johor Jaya) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di Iskandar Puteri pada Isnin.
Liow ingin tahu perkembangan terkini mengenai pembangunan di Forest City dan dakwaan berita tular berhubung cadangan pembinaan kasino di hartanah terbabit.
Onn Hafiz (BN-Machap) berkata, pembangunan di Forest City bakal memberikan pelbagai manfaat kepada rakyat dan juga pembangunan ekonomi Johor, serta Malaysia secara amnya.
“Alhamdulillah pembangunan Forest City telah mendapat keyakinan Kerajaan Persekutuan hari ini. Ia berlandaskan kepercayaan bahawa pembangunan ini dapat memainkan peranan penting dalam merancakkan ekonomi Johor.
“Insya-ALLAH dengan sokongan padu Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekarang adalah masa yang terbaik untuk kembali membangunkan Forest City,” katanya.
Pada 26 April lepas, Berjaya Corporation Bhd (Berjaya Corp) dilaporkan membuat laporan polis terhadap dakwaan artikel sebuah portal berita antarabangsa yang mengaitkan ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan terlibat dalam perbincangan bersama Perdana Menteri untuk membuka kasino di Forest City.
Susulan itu Anwar, Berjaya Corp dan Genting Malaysia Bhd turut menafikan laporan portal berita berkenaan. — The Star/YEEXIANGYUN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram