DIDIAGNOS mempunyai tumor dalam bahagian otak pada tahun 2007 membuatkan Maisarah Abdullah Sani terduduk dan dunianya sekelip mata menjadi gelap.
Wanita berusia 41 tahun itu mengakui tidak mudah menerima hakikat dirinya yang sihat dan aktif dalam melaksanakan tugas sebagai juru ukur bahan di sebuah syarikat pembinaan di London, United Kingdom (UK) disahkan menghidap penyakit.
Maisarah berkata, pada awalnya beliau menyangka tubuhnya hanya mengalami kesan akibat terlalu sibuk dan penat dengan tugas hakikinya.
BACA LAGI : Kempen 'BeCalm–You Can Be Okay' ajak masyarakat bangkit cari solusi atasi masalah kesihatan mental
BACA LAGI : Kerajaan peruntuk RM100 juta tambah baik fasiliti keselamatan sempadan utara Semenanjung
"Saya ingat hanya tekanan darah rendah atau penat sahaja, tetapi ujian darah menunjukkan jumlah hormon yang di luar kebiasaan, yang dipanggil prolaktinoma iaitu hormon yang dirembeskan di bawah otak.
"Selepas menjalani beberapa siri ujian kesihatan, doktor mengesahkan saya mempunyai tumor," katanya ketika ditemui Majoriti pada Majlis Pelancaran Kempen Kesihatan Mental BeCalm – You Can Be Okay di bangunan Star Media Group (SMG) pada Rabu.
Maisarah Abdullah Sani
Susulan daripada penyakitnya itu, Maisarah mula mengambil ubat bagi mengecilkan tumor tersebut.
Bagaimanapun, kesan sampingan yang perlu dihadapinya akibat ubat tersebut menyebabkan tubuh badan, rutin harian termasuk perjalanan kariernya mula berubah dan semakin merosot.
"Makin lama saya makan ubat, makin banyak kesan sampingan hingga selepas dua tahun saya langsung tidak boleh bekerja dengan baik seperti sebelum ini.
"Saya mula mengalami simptom kemurungan seperti susah tidur, berat badan naik mendadak, hilang ingatan, kekeliruan dan adakalanya turut berdepan masalah penglihatan.
"Berat badan saya pernah mencecah sehingga 106 kilogram (kg) disebabkan makan ubat," ujar Pengarah Urusan BeCalm Malaysia itu lagi.
Maisarah (tengah) pada ketika Majlis Pelancaran Kempen Kesihatan Mental BeCalm – You Can Be Okay di bangunan SMG.
Tidak terhenti di situ, kongsi Maisarah lagi, keadaan fizikalnya yang tidak fit menyebabkan dia pernah berdepan beberapa kekangan termasuk gagal membuat permohonan pinjaman rumah.
Bercerita lanjut, dia berkata, permohonan pinjaman rumahnya pernah ditolak oleh dua bank pada 2018, ekoran keputusan ujian kesihatan yang mengatakan dia berisiko untuk mendapat penyakit di kemudian hari.
"Masa saya nak beli rumah, kena buat pemeriksaan kesihatan dan pada waktu itu (pula) berat badan saya lebih 100kg.
"Degupan jantung saya tidak baik, jadi saya berisiko untuk terkena serangan jantung, kiranya saya tidak sihatlah," ujarnya dengan nada yang sayu.
Namun, walaupun pernah berada dalam detik terendah dalam hidupnya, ibu kepada tiga cahaya mata itu tidak pernah menyerah kalah dan terus berjuang mahupun dalam hidup dan juga perniagaannya.
"Semua ini hanyalah pinjaman daripada ALLAH SWT. Apa sahaja yang kita miliki hari ini, mungkin dalam 20 tahun akan datang bakal dimiliki oleh orang lain. Rumah, kereta, anak-anak, semuanya tidak akan menjadi milik kita selama-lamanya.
"Hiduplah dengan tenang dan berdamai dengan keadaan. Penting untuk kita hidup dengan bebas tanpa tekanan," ujarnya.
Segala usahanya ternyata berbaloi apabila mula membina empayar perniagaan biskut dan menerajui BeCalm Malaysia.
Mengulas lanjut mengenai biskut tersebut, Maisarah berkata, produk berkenaan diusahakan dan dicipta sepenuhnya di Malaysia iaitu di Shah Alam, Selangor.
Jelasnya, biskut BeCalm adalah sejenis functional food atau makanan tambahan yang mengetengahkan konsep snek sihat.
"Selain rasanya yang sedap, biskut ini juga membantu untuk keseimbangan hormon dengan kewujudan Ashwagandha KSM66 dan pelbagai bahan sihat lain. Secara umumnya, makanan ini menjadikan kehidupan seharian kita berfungsi dengan lebih baik.
"BeCalm Cookie datang dalam tiga perisa dan fungsi yang berbeza. Kita ada Chocolate Chip Sea Salt (Chillax), Speculoos White Chocolate (Mind Flex) dan Uji Matcha White Chocolate (Vibe On).
"Produk ini juga boleh didapatkan di aplikasi TikTok BeCalm, Shopee BeCalm atau hubungi kami menerusi Instagam kami @becalm.my," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram