Malas gosok gigi? Doktor dedah kuman boleh ikut darah, 'melekat' di jantung


  • Sihat
  • Isnin, 27 Mei 2024

Pemeriksaan gigi membolehkan seseorang mengesan jika terdapat sebarang masalah pergigian yang dialami.

SEGELINTIR individu mengambil remeh soal penjagaan gigi sehingga ada yang memutuskan untuk tidak memberus gigi mereka selama berhari-hari.

Sebenarnya, perkara itu berbahaya kerana mampu mengundang risiko penyakit kronik.

Buktinya, menerusi satu hantaran di media sosial, seorang doktor, Dr. Azila Mohd Kasim menunjukkan gambar seorang pesakit yang mengalami sakit jantung gara-gara malas untuk memberus gigi.

BACA LAGI: Boleh cecah 1,000 kalori, air 'hipster, fancy' antara 5 makanan undang penyakit jantung

BACA LAGI: Suami juga ada peranan besar bantu elak kelahiran anak tak cukup bulan

WhatsApp Image 2024-05-23 at 6.26.42 PM

Ambil langkah penjagaan gigi yang betul bagi mengelak masalah gigi.

"Kuman yang terkumpul di dalam mulut akan masuk ke dalam salur darah dan melekat pada organ seperti jantung," tulisnya.

Lebih mencemaskan, Dr Azila berkata, kuman yang berada di gigi akan mengikut aliran darah dan berhenti pada organ lain seperti buah pinggang dan paru-paru.

Namun, apakah cara penjagaan gigi yang betul bagi mengelak seseorang mengalami pelbagai penyakit yang mengancam kesihatan serta nyawa.

Seorang pakar perubatan, Dr Benneth Fernandes mengesyorkan beberapa cara bagi menjaga kesihatan gigi seperti berikut.

1. Berus gigi sekurang-kurangnya dua kali dalam sehari

Berus gigi anda sekurang-kurangnya dua kali sehari selama dua minit.

Pastikan juga anda memberus semua permukaan gigi, termasuk bahagian belakang dan sisi gigi anda.

Apabila anda memberus gigi, letakkan berus gigi anda pada sudut 45 darjah ke arah gusi.

Dengan cara ini dapat membantu menyapu plak dan bakteria pada garis gusi seseorang.

WhatsApp Image 2024-05-23 at 5.58.15 PM

Flos gigi penting untuk membersihkan plak yang terlekat di celahan gigi.

2. Flos gigi

Memberus gigi sahaja tidak dapat membersihkan gigi kerana terdapat juga plak yang terlekat di celahan gigi yang sukar dibersihkan.

Untuk membersihkan kawasan ini, anda perlu melakukan flos gigi.

Flos gigi adalah perbuatan mencuci kawasan di antara celah-celah gigi dengan menggunakan flos iaitu sejenis tali atau jaring halus yang boleh memasuki kawasan celah gigi.

Kebiasaannya, proses mencuci kawasan celah gigi ini dilakukan selepas memberus gigi untuk melengkapkan kitaran atau aturan mencuci mulut.

menyikat-lidah-1-1jpg-20230218121013

Memberus lidah penting bagi mengelak bakteria terkumpul di dalam mulut.

3. Memberus lidah

Anda juga perlu memberus lidah setiap kali memberus gigi.

Ini kerana, terdapat juga bakteria yang terkumpul di kawasan lidah anda.

Membersihkan lidah setiap kali memberus gigi dapat meningkatkan kesihatan gusi dan gigi anda.

Malah, ia juga dapat mencegah masalah nafas berbau yang mengundang ketidakselesaan orang sekeliling.

1009369

Ubat kumur antibakteria penting bagi mengelak bau mulut.

4. Ubat kumur antibakteria

Dr Benneth berkata, seseorang perlulah menggunakan ubat kumur antibakteria setiap hari.

Amalan penjagaan kesihatan gigi dengan menggunakan pencuci mulut antibakteria dapat membantu menyingkirkan plak dan membersihkan kawasan yang tidak dapat dicapai oleh berus gigi.

Pastikan anda memilih ubat kumur antibakteria yang bebas dengan formula alkohol untuk mengelakkan masalah mulut kering.

WhatsApp Image 2024-05-23 at 5.47.15 PM

Seseorang tidak dapat mengenal pasti masalah yang dialami jika tidak melakukan pemeriksaan gigi.

5. Lakukan pemeriksaan dengan doktor gigi

Rutin pemeriksaan gigi adalah penting untuk mengekalkan kesihatan mulut anda.

Dengan melakukan pemeriksaan gigi juga membolehkan seseorang mengesan jika terdapat sebarang masalah pergigian yang dialami.

Jangan menunggu sehingga anak anda mengalami kerosakan gigi untuk berjumpa dengan doktor, tetapi sebaliknya bawalah mereka untuk pemeriksaan gigi secara berkala sekurang-kurangnya sekali setiap enam bulan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram