Tiga cabaran awal perlu kerajaan tempuh sebelum perkasa sektor pertanian 


  • Massa
  • Sabtu, 26 Ogos 2023

Malaysia dilabel antara negara yang kaya dengan hasil bumi dan tanaman. — Gambar hiasan

MESKIPUN dilabel antara negara yang kaya dengan hasil bumi dan tanaman, Malaysia dilihat masih lagi terlalu bergantung kepada makanan import.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat memberitahu, kini negara mengimport produk makanan termasuk benih tumbuhan dengan nilai amat besar dan menelan kos hampir RM70 bilion setahun.

Sedangkan Malaysia mempunyai tanah yang subur, malah tidak berdepan masalah ketiadaan hujan atau air yang ekstrem.

Sehubungan itu, Anwar berkata, kerajaan ketika ini dalam usaha mengurangkan kebergantungan import makanan, seterusnya memperkasakan sektor pertanian negara.

Langkah itu sebagai usaha jangka sederhana yang akan diterajui Jabatan Pertanian supaya ia dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Bagaimanapun tidak dapat dinafikan, kerajaan terpaksa berdepan beberapa cabaran sebelum merealisasikan usaha tersebut.

Berikut Majoriti senaraikan tiga cabaran yang perlu diatasi dalam usaha memperkasa sektor pertanian negara:

1. Harga bekalan baja dan racun yang tidak stabil

Anwar berkata, kerajaan kini dalam usaha mengurangkan kebergantungan import makanan. — Bernama

Harga bekalan baja dan racun bagi aktiviti pertanian yang tidak stabil saban hari mendatangkan beban buat para petani.

Peningkatan atau ketidakstabilan harga tersebut justeru akan mengurangkan pendapatan bersih petani terutama pesawah serta pekebun kecil.

Antara faktor yang menyebabkan peningkatan harga baja dan racun adalah disebabkan barangan itu diimport dari luar negara.

Perkara ini sebenarnya bukanlah isu baharu, kenaikan harga tersebut telah membelenggu dan memberi kesan terutama kepada pekebun kecil kelapa sawit, pekebun buah-buahan dan juga penanam sayur serta yang lainnya sejak November tahun 2021.

Menurut bekas Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Datuk Mohd Anim Hosnan, isu kenaikan harga input pertanian di pasaran menyebabkan kerisauan banyak pihak bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh dunia turut merasakannya.

Ujarnya, kini kenaikan harga makanan memang didorong oleh kenaikan dalam harga input pertanian asas seperti baja, bahan kimia, tanah, buruh dan mesin jentera atau alatan pertanian.

Sejak peperangan Rusia-Ukraine tercetus pada tahun 2022 pula dilaporkan kenaikan harga input pertanian mencecah 52 peratus daripada tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, petani juga perlu mengubah mentaliti yang terlalu mengharapkan bantuan subsidi daripada kerajaan.

Pemberian subsidi yang disalurkan tanpa penelitian terperinci akan menyebabkan kerugian kepada rakyat serta mendatangkan implikasi buruk kepada kewangan negara.

Sebelum ini, perdana menteri mengumumkan kenaikan kadar Skim Subsidi Harga Padi daripada RM360 per metrik tan kepada RM500 per metrik tan berkuat kuasa 8 Ogos lalu.

2. Kekangan tenaga mahir dan separa mahir, kebergantungan kepada tenaga luar

sektor pertanian turut berdepan cabaran kekurangan tenaga mahir dan separa mahir.

Pembabitan belia dalam pertanian penting bagi memastikan kelestarian bekalan makanan sentiasa terjamin. — Bernama

Selain isu ketidakstabilan harga baja dan racun, sektor pertanian turut berdepan cabaran kekurangan tenaga mahir dan separa mahir.

Sektor pertanian kini semakin dimonopoli oleh tenaga kerja warga asing. Persepsi pekerjaan tersebut yang dianggap tidak setaraf dengan profesionalisme lain menjadi antara faktor kebanyakan anak muda enggan menceburkan diri dalam dunia ini.

Apatah lagi, faktor persekitaran masa kini yang lebih terdedah dengan dunia digital terutamanya dalam kalangan pelajar lepasan SPM menyebabkan mereka lebih cenderung memilih kerjaya sebagai pempengaruh untuk menjana pendapatan dengan mudah.

Selain itu, tidak hairan juga jika anak muda yang lebih memilih karier tertumpu ke arah ekonomi gig yang kini menjadi trend memandangkan cara bekerja yang lebih fleksibel serta menjana pendapatan tinggi dengan memberi pulangan segera.

Memetik laporan Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Daljit Singh Karam Singh, beliau berkata, pembabitan golongan belia dalam bidang pertanian adalah penting kerana mereka perlu memastikan kelestarian bekalan makanan sentiasa terjamin untuk generasi akan datang.

Ujarnya, ketiadaan pelapis dalam bidang berkenaan dikhuatiri akan menjejaskan sektor pertanian negara.

3. Harga pasaran yang tidak menentu dan berisiko alami kerugian

— Bernama

Harga minyak sawit mentah menunjukkan trend peningkatan sejak Julai tahun ini.

Keadaan harga pasaran yang tidak menentu berisiko menyebabkan kerugian bukan sahaja kepada petani, malah pengeluar dan juga peniaga.

Sayur-sayuran antara yang mengalami kenaikan harga didorong oleh faktor kekurangan bekalan, termasuk keadaan persekitaran dan cuaca yang tidak menentu.

Sebagai contoh, pada awal tahun lalu, harga sayur-sayuran di beberapa negeri dilaporkan meningkat antara RM2 hingga RM4 sekilogram dipercayai berpunca kekurangan bekalan disebabkan banjir yang melanda beberapa negeri.

Namun begitu, tidak dapat dinafikan turun naik harga makanan adalah norma pasaran dan ia adalah satu hakikat yang perlu diterima oleh rakyat.

Memetik artikel yang ditulis oleh Profesor Datuk Paduka Dr Fatimah, pasaran perlukan harga turun dan naik untuk membolehkan masalah lebihan atau kurangan produk dapat diatasi.

Beliau menjelaskan, apabila berlaku lambakan, hanya melalui harga yang rendah, stok yang berlebihan boleh dijual dan begitu sebaliknya. Ia adalah fungsi asas harga.

Namun bagi pengusaha pertanian, ketidaktentuan harga pasaran produk mereka amat membebankan, tambahan dengan kewujudan orang tengah serta kartel yang mengawal atau memanipulasi harga.

Walaupun pelbagai cara telah diusahakan untuk membanteras isu kartel atau orang tengah, tetapi harga produk pertanian masih lagi tidak stabil atau setidak-tidaknya dapat ditetapkan pada harga modal.

Jika kerajaan benar-benar serius mahu memperkasakan sektor pertanian, mungkin tiga cabaran awal ini perlu ditangani terlebih dahulu sebelum menongkah langkah yang lebih jauh bagi merealisasikan hasrat tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram