SEKTOR pertanian negara pada Rabu menerima satu berita positif yang bakal memberi perkembangan cukup signifikan terhadap sekuriti makanan di Malaysia.
Ia selepas Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Arthur Joseph Kurup mengumumkan bahawa negara kini sudah berjaya menuai hasil bawang tempatan pertama menerusi projek tanaman perintis yang dilaksanakan di Perak.
Arthur dilaporkan berkata, tuaian pertama tanaman di Kampung Ladang Bikam, Sungkai berjaya memberikan hasil pengeluaran 2.3 tan bawang tempatan jenis BAW-1.
Hasil tuaian tersebut diperolehi daripada fasa satu projek terbabit yang melibatkan kawasan seluas 0.6 hektar.
Menurut Arthur, projek kerjasama dengan Jabatan Pertanian Negeri dilaksanakan secara tiga fasa di kawasan seluas satu hektar dengan menyasarkan pengeluaran hasil kira-kira empat tan metrik setiap hektar.
"Bagi penuaian pertama, ia membabitkan fasa satu di kawasan seluas 0.6 hektar dengan hasil pengeluaran sekitar 2.3 tan. Selepas ini, penuaian akan bersambung kepada fasa dua dan fasa tiga," katanya.
Untuk rekod, dua varieti bawang yang digunakan dalam projek tersebut iaitu varieti BAW-1 dan BAW-2 dihasilkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi tujuan komersial.
BACA LAGI: [VIDEO] Rakaman audio bongkar perbuatan bapa durjana cabul, dera seksual anak kandung 5 tahun
Arthur (tiga dari kiri) melihat tuaian hasil bawang pertama di bawah projek rintis yang dilaksanakan di Perak. — Facebook/JabatanPertanianNegeriPerak
Melalui projek rintis itu, Jabatan Pertanian Perak menyasarkan pengeluaran keseluruhan sebanyak enam tan metrik bawang merah.
Berita tersebut sememangnya merupakan satu perkembangan buat negara khususnya dalam usaha Kerajaan mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap bawang import.
Data daripada Akaun Pembekalan dan Penggunaan Komoditi Pertanian Terpilih Malaysia pada 2018 hingga 2022 merekodkan, Malaysia mengimport bawang merah segar iaitu besar, kecil dan putih dari India sebanyak 62 peratus.
Ia diikuti Belanda 15 peratus, China sebanyak sembilan peratus, Pakistan lapan peratus manakala Thailand, Mesir dan lain-lain negara masing-masing mencatatkan dua peratus.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Februari lalu berkata, Program Pembangunan Tanaman Bawang yang akan dilaksanakan secara berfasa hingga 2030 dijangka membantu dalam mengurangkan import bawang negara sebanyak 30 peratus.
Ujarnyya, program berkenaan akan dilaksanakan dalam dua fasa meliputi prakomersial bermula tahun ini hingga tahun depan dan fasa komersial pada 2026 hingga 2030.
Usaha kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan bawang import itu sememangnya sesuatu yang wajar dipuji.
Ini kerana langkah tersebut dilihat secara langsung mengurangkan risiko turun naik harga bawang yang memberikan kesan terhadap rakyat Malaysia akibat perkembangan yang berlaku di negara pengeluar.
Situasi ini boleh dilihat jelas berlaku apabila harga bawang negara pada Januari tahun ini dilaporkan naik lebih 30 peratus berbanding bulan sebelumnya akibat perubahan dasar mengeksport bawang oleh India.
Bagaimanapun, di sebalik perkembangan positif tersebut, terdapat pihak yang memberikan peringatan berhubung beberapa isu yang mungkin timbul daripada usaha dijalankan itu.
Seorang pengguna Facebook, Matt Kinta berkata, kerajaan perlu memberikan tumpuan khusus dalam menangani kelemahan daripada segi pemasaran komoditi bahan makanan itu di dalam negara.
"Kelemahan kita adalah strategi pemasaran. Banyak orang kita dah terkena bila dapat hasil tanaman banyak, tapi sudahnya harga jual jatuh. Ini dimainkan oleh orang tengah kerana mereka yang menguasai pemborong dan peruncit," tulisnya.
BACA LAGI: Ibu bapa durjana ditahan dera 2 anak guna seterika, air panas sehingga melecur di Keningau
Kebergantungan melampau terhadap bekalan bawang import menyebabkan negara terdedah kepada risiko keterjaminan bahan makanan tersebut. — Gambar hiasan/AFP
Menurutnya, bagi menangani isu tersebut, satu badan perlu diwujudkan bagi menyusun strategi pemasaran bagi pengedran hasil tanaman itu secara menyeluruh.
Isu tersebut sekiranya tidak diselesaikan katanya bakal memberikan kerugian kepada pekebun.
"Pekebun tiada masa menjual produk mereka secara cepat dan banyak pihak kerajaan perlu memantau aktiviti orang tengah atau pemborong supaya tidak menindas pekebun ini.
"Ini yang menyebabkan ramai pekebun takut untuk menanam tanaman secara besar besaran. Banyak pasaraya, pasar segar, pasar mini dan kedai runcit dimiliki oleh kumpulan tertentu.
"Jadi disini timbulnya permainan harga untuk produk pertanian orang melayu. Tidak ada undang-undang supaya pasaraya, pasar basah, pasar mini wajib mengambil beberapa peratus barangan mereka daripada hasil produk pekebun," ujarnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram