Sindiket lesen terbang atau lesen ‘kopi O’ berdepan pembatalan lesen


  • Primer
  • Ahad, 23 Jun 2024

Institut Memandu yang didapati terlibat dengan sindiket lesen terbang atau lesen ‘kopi O’ bakal berdepan pembatalan lesen pengoperasian serta-merta.

INSTITUT Memandu (IM) yang didapati terlibat dengan sindiket lesen terbang atau lesen ‘kopi O’ bakal berdepan pembatalan lesen pengoperasian serta-merta.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kegiatan rasuah dalam industri pengujian pemanduan perlu dihapuskan kerana tindakan itu akan membahayakan nyawa pengguna jalan raya terutama golongan muda.

Menurutnya, matlamat utama mereka adalah untuk menyelamatkan nyawa manusia.

BACA LAGI: [VIDEO] SK Abaka di Tawau musnah terbakar, bomba ambil masa 50 minit padam api

BACA LAGI: : [VIDEO] 'Hadiah perkahwinan', pengantin lelaki kena beduk abang ipar sejurus akad nikah lepas kantoi buat ugutan bunuh

Loke

Anthony Loke berkata, kegiatan rasuah dalam industri pengujian pemanduan perlu dihapuskan. — The Star

"Sekolah memandu tidak boleh terlibat dengan rasuah. Jika isu ini tidak dibendung, anak muda akan menjadi mangsa. Matlamat kita adalah untuk menyelamatkan nyawa manusia.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran ‘lesen terbang’ yang diiklankan di media sosial,” katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-10 RDS Driving Academy Sdn Bhd dan Projek Lesen L Orang Asli pada Ahad.

Beliau berkata, sistem ujian pemanduan elektronik (eTesting) adalah langkah proaktif, dan merupakan sistem yang lebih berintegriti diperkenalkan untuk memerangi rasuah dalam industri.

Beliau menyeru institut pemanduan untuk membiasakan diri dengan sistem itu sebelum penggunaannya diwajibkan pada 2030.

“Kementerian komited untuk melaksanakan eTesting bagi memastikan sistem yang lebih berintegriti.

"Isu lesen memandu yang tidak sah sudah lama kita dengar, tetapi saya melihat perkembangan positif.

"Walaupun tidak dinafikan mungkin ada lagi sindiket cuba mengambil kesempatan, kita akan teruskan usaha membanteras rasuah,” katanya.

Loke berkata, kementerian menerima beberapa permohonan daripada institut pemanduan untuk pelaksanaan eTesting sejak ia diperkenalkan April lalu.

Tambahnya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang memproses permohonan berkenaan dan kumpulan pertama akan menerima surat kelulusan dalam masa terdekat. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram