Lima pelajar lelaki pukul junior di Ipoh kena tahan polis


  • 112
  • Selasa, 30 Jul 2024

Lima pelajar ditahan polis susulan kes pukul seorang pelajar junior hingga cedera di badan.

LIMA pelajar lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan kes pukul seorang pelajar junior hingga mendatangkan kecederaan terhadap mangsa.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, laporan polis diterima daripada mangsa yang juga pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah pada 24 Julai lalu.

Menurutnya, mangsa didakwa dipukul sekumpulan pelajar tingkatan empat dan tingkatan lima dari sekolah yang sama.

BACA LAGI: Lepas nasib Zulfarhan terbela, rakyat ternanti-nanti keputusan 3 lagi kes pernah gemparkan negara

BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara peluk peminat basah atas pentas, penyanyi terkenal Brazil maut kena renjatan elektrik

"Tangkapan terhadap pelajar berusia 16 dan 17 tahun itu dibuat Polis Daerah Ipoh kira-kira pukul 11 pagi pada Isnin.

"Kejadian dipercayai berlaku akibat salah faham hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di badan dan menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sebagai pesakit luar," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Azizi memaklumkan, tangkapan dibuat bagi membantu siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian selain mengesan suspek lain yang terlibat dalam kejadian itu.

Jelasnya, siasatan kes sedang berjalan termasuk usaha merakam keterangan dan percakapan saksi-saksi yang terbabit.

"Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu atas kesalahan merusuh yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram