MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke mengatakan yang individu tidak mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh memohon untuk menjadi guru sekolah memandu bermula 1 Julai, lapor Berita Harian.
Menurut Anthony, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberikan kelulusan sementara bagi individu tanpa kelulusan SPM untuk memperoleh Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM).
Tempoh kebenaran sementara itu adalah selama enam bulan sehingga 31 Disember 2024.
BACA LAGI: MAHB masih milik Malaysia — PM Anwar
BACA LAGI: Kapal LCS kedua siap 64.66 peratus, Khaled yakin 5 kapal diserah secara berperingkat mulai 2026
Menurut Anthony, maklum balas daripada pengusaha sekolah memandu terhadap kekurangan tenaga pengajar di insitut tersebut menyebabkan kelonggaran dalam memohon SPIM dilakukan.
"Ramai pengusaha institut memandu memberi maklum balas bahawa terdapat ramai pemandu berpengalaman dan berhemah yang berpotensi menjadi pelatih yang baik tetapi tidak dapat peluang kerana kekurangan kelayakan SPM.
"Jadi, selepas penelitian terperinci, sukacita saya umumkan bahawa suatu program khas akan diadakan untuk memberi pengecualian kepada pemohon yang tidak memiliki SPM untuk mengikuti kursus SPIM dan menjadi pengajar bertauliah," katanya.
Anthony Loke.
Sebagai rekod, memiliki sijil SPM merupakan syarat wajib bagi mana-mana individu yang mahu mendapatkan kelulusan SPIM.
Buat masa sekarang, kerajaan hanya meletakkan enam bulan untuk kelonggaran tersebut namun ia mungkin melanjutkan tempoh tersebut sekiranya terdapat keperluan.
"Sebelum ini, sesiapa sahaja yang mahu menjadi pengajar di institut memandu, perlu memiliki SPM dan itu adalah syarat wajib. Jadi ini yang ramai tak dapat penuhi dan banyak institut memandu beri maklum balas kepada kita.
"Maka kita beri tempoh pengecualian selama enam bulan. Jadi mana-mana yang tak ada SPM, boleh daftar SPIM dan individu itu perlu mengikuti kursus selama dua minggu untuk mendapatkan sijil pengajar itu," jelas Anthony. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram