Polis sahkan Albertine tidak diapa-apakan suspek sepanjang tempoh diculik


  • 112
  • Selasa, 30 Jul 2024

Albertine yang kini selamat bersama keluarganya selepas tiga hari diculik ketika berada di sebuah festival di Johor pada 20 Julai lalu.

POLIS mengesahkan kanak-kanak berusia 6 tahun, Albertine Leo Jia Hui yang hilang ketika Festival Bon Odori di Eco Galleria, Iskandar Puteri, Johor pada 20 Julai lalu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumarasan berkata, berdasarkan laporan kesihatan yang dikeluarkan pihak hospital, mangsa tidak diapa-apakan oleh suspek sepanjang tempoh diculik.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif penculikan tersebut.

BACA LAGI: Ibu Albertine ucap terima kasih, sudah sedia kembali bekerja

BACA LAGI: Kes culik Albertine Leo, polis Johor sahkan hanya 5 tangkapan dibuat

5858337024287814690

M Kumarasan berkata, polis masih menjalankan siasatan untuk mencari motif penculikan itu. — The Star

Katanya, polis juga akan memaklumkan maklumat lanjut dan perkembangan kes selepas siasatan lengkap dilakukan.

"Kami telah meminta supaya reman terhadap suspek dilanjutkan bagi membolehkan siasatan lanjut untuk mengetahui motif.

"Setiap jenayah yang berlaku pasti ada motifnya, tetapi dalam masa yang sama biarlah kita (selesaikan) siasatan dahulu," katanya pada Selasa.

Sebelum ini, Albertine dilaporkan hilang sekitar pukul 8.30 malam pada 20 Julai oleh ibu bapanya, yang berniaga sebuah gerai di festival berkenaan.

Kanak-kanak perempuan itu kemudiannya ditemui 370 kilometer (km) di Batang Kali, Selangor, pada awal pagi 23 Julai.

Susulan itu, empat suspek didakwa terlibat dalam penculikan Albertine sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Polis ketika itu mengesahkan bahawa perintah tahanan reman terhadap empat suspek tersebut tidak dilanjutkan selepas ia tamat pada 26 Julai lalu.

Tempoh reman suspek kelima, seorang lelaki berusia 31 tahun yang ditemui bersama mangsa di Batang Kali pula akan berakhir pada Selasa.— The Star/REMAR NORDIN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram