Yayasan Perkasa Siswa 'talian hayat' realisasi pembangunan mahasiswa


  • Massa
  • Selasa, 30 Jul 2024

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir (dua dari kiri) menyampaikan bantuan kewangan secara one-off kepada mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS).

KEHIDUPAN sebagai pelajar universiti atau mahasiswa sememangnya amat mencabar, lagi-lagi menyentuh soal kebajikan termasuk kewangan, sokongan dan sahsiah diri.

Kekangan yang dihadapi ini secara tidak langsung boleh menjejaskan perkembangan dan proses pembelajaran mahasiswa untuk mencapai potensi diri yang sebenar.

Bagi mengikis cabaran dan kekangan ini demi mengembalikan fokus pelajar, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Yayasan Perkasa Siswa (YPS) sentiasa bersedia membantu golongan mahasiswa menempuh alam menara gading tanpa dibelenggu sebarang isu kebajikan.

BACA LAGI: KPM, KPT kerjasama pastikan tempat pelajar cemerlang di matrikulasi dan IPT

BACA LAGI: 'Degree bukan bisnes', pengajian di menara gading pelaburan lahirkan modal insan

WhatsApp Image 2024-07-29 at 20.53.09

Pelbagai aktiviti dirangka khusus untuk mahasiswa seperti bantuan kebajikan termasuk khairat kematian, musibah bagi yang ditimpa kemalangan atau bencana.

YPS merupakan salah satu agensi di bawah KPT yang berfungsi mengurus dan menyelaras hal ehwal pemerkasaan merangkumi program dan aktiviti pembangunan pelajar kebajikan serta kesejahteraan mahasiswa di Malaysia.

Selain memainkan peranan sebagai key player dalam konteks program dan aktiviti anjuran mahasiswa, yayasan itu juga bertindak sebagai medium ‘talian hayat’ bagi merealisasikan objektif program yang menjana kepada pemerkasaan lebih 1.2 juta mahasiswa berdaftar di bawah KPT.

Ketua Pegawai Eksekutif YPS, Hirman Awang berkata, pelbagai aktiviti dirangka dan dilaksanakan khusus untuk mahasiswa seperti bantuan kebajikan termasuk khairat kematian serta bantuan musibah bagi yang ditimpa kemalangan atau bencana.

Menurutnya, ia termasuk bantuan keperluan sokongan perubatan dan sumbangan pendanaan bagi pelaksanaan program serta aktiviti pembangunan pelajar, khidmat komuniti, kepimpinan dan keusahawanan.

"Antara objektif utama penubuhan YPS adalah menyatukan semua urusan berkaitan pemerkasaan, kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa di peringkat nasional menerusi satu badan khusus.

“Selain itu, YPS juga mengurus dan menyelaras inisiatif pemerkasaan serta aktiviti berunsur kebajikan dan kesejahteraan daripada kerajaan, syarikat swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya secara lebih teratur.

"Saya amat berterima kasih kepada Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi selaku Pengerusi YPS yang telah meluluskan manfaat yang menyokong pemerkasaan mahasiswa,” katanya dalam sesi temu bual khas bersama media di KPT, pada Rabu.

Selain itu juga, Pengurusan Tertinggi KPT iaitu Ketua Setiausaha KPT dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi serta Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti yang turut bertindak sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah YPS sangat komited dalam memastikan YPS kekal memainkan peranan penting dalam pembangunan dan kebajikan mahasiswa dalam negara.

Mengulas lanjut, Hirman menjelaskan, yayasan turut komited melaksanakan pemerkasaan berdasarkan lima fokus utama dan 20 landasan hala tuju yang digariskan KPT.

Beliau berkata, kementerian juga ingin membangunkan insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah cemerlang intelek manusiawi, menjadi penyelesai permasalahan dan inovator kreatif kepada isu masyarakat.

"Justeru, kami meletakkan sasaran untuk melahirkan mahasiswa bitara, dalam erti kata lain mempunyai sifat dan karakter yang unggul, berketerampilan, kompeten dan progresif," ujarnya.

WhatsApp Image 2024-07-29 at 20.39.35

Hirman ketika ditemui dalam satu sesi temu bual khas bersama media di KPT.

Menurut Hirman yang juga Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar KPT, YPS sentiasa menekankan usaha menyelaras inisiatif pemerkasaan dan aktiviti berunsur kebajikan serta kesejahteraan mahasiswa.

Jelasnya, inisiatif tersebut melibatkan pihak kerajaan, swasta, NGO, orang perseorangan dan sebagainya merangkumi semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) secara teratur, sistematik, telus dan menyeluruh.

Dalam erti kata lain, bantuan yang dipohon mahasiswa dan IPT akan disalurkan secara holistik tanpa mengenal perbezaan agama serta bangsa.

“Selain membuat hubungan langsung dengan golongan mahasiswa, YPS turut menjalinkan kerjasama erat dengan semua bahagian hal ehwal pelajar di universiti awam, universiti swasta, politeknik serta kolej komuniti.

“Jalinan kerjasama tersebut bagi membolehkan laporan berkaitan bencana, kematian ataupun kecederaan yang dialami mahasiswa dapat disalurkan kepada YPS bagi urusan penyaluran bantuan,” ujarnya.

Snapinsta.app_447740787_18238113160267156_395975156122763937_n_1080

KPT ingin membangunkan insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah intelek manusiawi, penyelesai permasalahan dan inovator kreatif kepada isu masyarakat.

Hirman turut memaklumkan, yayasan yang dijenamakan semula pada Disember 2023 itu memfokuskan pada empat kluster, iaitu pembangunan pelajar merangkumi kepimpinan, pengantarabangsaan, keusahawanan dan kesukarelawanan.

Dalam pada itu, fokus turut diberikan kepada aspek khidmat komuniti seperti perkhidmatan pembelajaran dan perkongsian ilmu.

Ujar beliau, yayasan sentiasa menjaga kebajikan pelajar dengan menawarkan sumbangan dalam pelbagai bentuk melalui sembilan kluster yang ditetapkan.

"Antaranya termasuk Bantuan Khas Bencana, Bantuan Kemalangan, Bantuan Perubatan, Bantuan Khairat Kematian, Bantuan Pendidikan dan Bantuan Kewangan Secara One-Off.

"Selain itu, bantuan lain yang ditawarkan ialah Bantuan Care4U, Bantuan Care4OKU serta Bantuan Food@Campus," katanya.

Beliau memberitahu, selepas melalui penjenamaan semula, YPS mempunyai kapasiti dana lebih besar, sekali gus memudahkan bantuan disalurkan kepada mahasiswa dengan lebih cepat.

Ujarnya lagi, pihak universiti sebenarnya sangat gembira apabila ada satu lagi badan yang boleh turut sama membantu pelajar mereka dalam melaksanakan program dan aktiviti dalam pelbagai bentuk.

“Lembaga Pemegang Amanah (LPA) telah membuat keputusan minimum RM1,000 akan disalurkan kepada pelajar yang cedera akibat kemalangan," jelasnya sambil menambah bantuan kemalangan di bawah kluster kebajikan antara yang kerap disalurkan.

photo1710817800 (2)

Fokus turut diberikan kepada aspek khidmat komuniti seperti perkhidmatan pembelajaran dan perkongsian ilmu.

Tambahnya lagi, sejumlah RM4 juta telah diperuntukkan menerusi inisiatif yang dilaksanakan YPS sepanjang tempoh tahun 2021 hingga 2024.

Hirman dalam masa sama menyuarakan harapan agar inisiatif yang dilaksanakan YPS turut mendapat sambutan pihak-pihak berkaitan.

"Kami terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana rakan strategik bagi menambahbaik kecekapan dalam pengurusan berkaitan program dan aktiviti pembangunan mahasiswa.

“Jika kita mempunyai ramai rakan kerjasama, maka lebih banyak pelajar akan mendapat manfaat memandangkan mahasiswa yang berdaftar dengan KPT,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram