DBKL bakal adakan sesi libat urus bersama peniaga Pasar Borong Kuala Lumpur


  • Massa
  • Selasa, 30 Jul 2024

Peniaga di Pasar Borong Kuala Lumpur menyuarakan kekecewaan selepas DBKL membekukan permohonan baharu lesen perniagaan mereka bermula awal tahun ini.

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyelaraskan beberapa sesi libat urus bersama peniaga dan pemegang lesen di Pasar Borong Kuala Lumpur atau Pusat Bandar Utara yang terkesan berhubung isu pembekuan permohonan lesen perniagaan.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan dalam satu kenyataan kepada Majoriti memaklumkan, sesi tersebut akan dilaksanakan setelah semua hasil bancian dan info di kawasan yang terkesan diperolehi.

"Walau bagaimanapun, pihak DBKL akan mempertimbangkan pembaharuan lesen bagi peniaga di Pusat Bandar Utara sekiranya jenis perniagaan tersebut tidak berada dalam senarai yang dinyatakan," katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Lesen peniaga pasar borong KL dibekukan, ‘orang tengah’ kaut untung lebih RM4,000

BACA LAGI: Sudah tiba masa PBT wajibkan peniaga buat permohonan lesen sendiri, bukan guna 'orang tengah'

1

DBKL akan mempertimbangkan pembaharuan lesen bagi peniaga di Pusat Bandar Utara sekiranya jenis perniagaan tersebut tidak tersenarai dalam kategori dinyatakan.

Menurut kenyataan itu, pembaharuan lesen di Pasar Borong Kuala Lumpur masih lagi dibenarkan dan tiada pembekuan lesen dikenakan ke atas peniaga dalam Pasar Borong Kuala Lumpur.

Sementara itu jelasnya, bagi kawasan di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur atau lebih dikenali sebagai Pusat Bandar Utara, DBKL telah membekukan permohonan baharu bagi lesen komposit sejak tahun 2021.

"Khususnya bagi kategori ikan, sayur, buah-buahan dan sebarang aktiviti borong atau pukal.

"Selain itu, kategori stor penyimpanan borong, aktiviti berisiko dan pasar mini atau seumpama pasar juga antara yang dibekukan permohonan," tambahnya.

3

Kebanyakan peniaga di Pasar Borong Kuala Lumpur mengalami kerugian selepas lesen mereka dibekukan.

DBKL dalam pada itu memberitahu akan mengeluarkan Surat Tunjuk Sebab (STS) bagi isu pelangaran syarat lesen antaranya termasuk menjalankan perniagaan yang tidak sama seperti yang dilesenkan serta mendirikan struktur perniagaan tanpa perintah pembangunan dan kebenaran.

"Selain itu, STS juga akan dikeluarkan kepada peniaga yang melantik pekerja bukan warganegara tanpa permit yang sah dan sebagainya, bagi tujuan dibawa masuk ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pembatalan Lesen untuk tindakan pembatalan," ujarnya.

Majoriti pada 7 Julai lalu melaporkan, sebahagian besar peniaga di Pasar Borong Kuala Lumpur menyuarakan kekecewaan selepas DBKL membekukan permohonan baharu lesen perniagaan mereka bermula awal tahun ini.

Menurut salah seorang peniaga di pasar borong tersebut, Saifuldin Osman, 55, tindakan PBT membekukan permohonan baharu menyebabkan peniaga tidak dibenarkan untuk memohon lesen daripada Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi menjual barang kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung.

Dalam perkembangan sama, Saifuldin turut mendedahkan, keadaan itu hanya akan memberi keuntungan kepada individu yang menawarkan khidmat sebagai ‘orang tengah’ untuk membantu peniaga memperbaharui lesen.

Katanya, ketika ini, ‘orang tengah’ mengenakan caj sehingga RM4,000 untuk perbaharui satu lesen bagi tempoh setahun, sedangkan kadar bayaran sebenar hanyalah antara RM90 hingga RM100 jika ia dibuat melalui saluran yang betul. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram